Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Himpunan Fastaqim 2.0 yang berakhir semalam memberi mesej
jelas kepada penyokong PAS supaya terus kekal memberikan sokongan kepada
parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dalam mendepani Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal tiba pada bila-bila masa.
Veteran PAS Subky Abdul Latif berkata himpunan gergasi itu bukan
sekadar menyatukan penyokong PAS, tetapi mahu menyedarkan rakyat tentang
perlunya perubahan negara melalui parti itu.
"Fastaqim bukan sekadar untuk menyatukan PAS, tetapi untuk menyedarkan rakyat ke arah perlunya perubahan negara melalui PAS.
"Menyeru rakyat menjelang pilihan raya ini faham 'standard' masyarakat
madani, menjadikan PAS sebagai pilihan sekalipun PAS tidak akan menjadi
pemimpin kepada mana-mana kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya
tetapi rakyat mesti menyokong supaya PAS dapat jadi penentu dalam
pembentukan selepas pilihan raya.
"Inilah dia punya semangat perhimpunan Fastaqim itu," katanya kepada Antarapos.
Perhimpunan Fastaqim 2.0 berakhir semalam selepas berlangsung selama dua hari di Pantai Tok Jembal, Terengganu.
Ia adalah kali kedua himpunan itu dianjurkan selepas kali pertama pada
tahun 2015, iaitu sebelum berlakunya perpecahan dalam kalangan anggota
parti sehingga mewujudkan parti serpihannya, Amanah pada hari ini.
Malam kemuncak Fastaqim 2.0 semalam turut mengisytiharkan penyertaan
Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia
(BERJASA) sebagai parti komponen baru gabungan Gagasan Sejahtera
(GAGASAN).
PAS sebelum ini konsisten untuk mendepani PRU14 menerusi GAGASAN
selepas parti itu membuat keputusan memutuskan kerjasama bersama DAP dan
PKR.
Penyertaan dua parti itu dilihat memantapkan lagi barisan blok ketiga
diterajui PAS dalam percaturannya mendepani PRU1) yang dijangka
berlangsung pada bila-bila masa.
No comments:
Post a Comment