RASAH: Akibat meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1,200 daripada
seorang penagih dadah, seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan
menerima padah apabila direman selaman tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap wanita berusia 36 tahun itu dikeluarkan
Majistret Rahimah Rahim di Mahkamah Khas Reman di sini pagi ini selepas
menerima permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Malaysia
(SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim.
Menurut jurucakap SPRM, wanita yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu
Pejabat Polis Daerah Jelebu itu ditahan selepas didakwa meminta suapan
daripada penagih tersebut bagi menutup kesnya daripada dibawa ke
mahkamah.
Katanya, anggota polis itu pada awalnya meminta wang sebanyak RM1,300 tetapi bersetuju mengurangkannya kepada RM1,200.
“Suspek ditahan sekumpulan pegawai SPRM di dalam kenderaan jenis Nissan
Grand Livina miliknya kira-kira pukul 3 petang semalam sejurus menerima
rasuah. Wang berjumlah RM1,200 turut ditemukan di dalam kenderaannya,”
katanya di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah.
No comments:
Post a Comment