Projek barangan runcit murah yang diilhamkan perdana menteri 6 tahun lalu itu kini menunggu syarikat baharu.
PETALING JAYA: Sudah hampir 2 bulan Putrajaya mengumumkan penamatan kontrak Mydin Mohamed Holdings , yang mengendalikan pasar raya Mydin di seluruh negara, sebagai pengendali Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), projek kerajaan yang menawarkan barangan asas pada harga runcit yang lebih rendah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberitahu FMT ia masih dalam rundingan dengan pihak yang bersedia mengambil alih KR1M.
“Setakat ini belum (dilantik pengendali KR1M), masih dalam rundingan,” kata timbalan menterinya Datuk Henry Sum Agong. “Apabila sudah selesai nanti akan dimaklumkan.”.
Pada 29 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan KPDNKK menamatkan kontrak pengendali KR1M yang didapati menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran.
Zahid berkata, kerajaan tidak mahu syarikat berkenaan membekalkan barang dan mengendalikan operasi KR1M lagi kerana pembungkusan serta pengedaran barangnya berkualiti rendah, tetapi dijual pada harga lebih mahal.
Susulan itu, Mydin mendakwa ia mengalami kerugian besar mengendalikan KR1M yang merupakan projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin bagaimanapun berkata, projek berkenaan diteruskan juga demi manfaat rakyat, walaupun banyak yang diperkatakan mengenai kegagalan operasi KR1M.
Henry berkata, sehingga kini KPDNKK telah menerima banyak permohonan daripada syarikat lain untuk mengendalikan KR1M.
“Mereka ada menghantar cadangan, kesanggupan dari pihak mereka,” katanya.
KR1M diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mula beroperasi pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.
Barangan yang dijual adalah 30% hingga 40% lebih murah daripada harga pasaran. Bagaimanapun, kontroversi mengenai kualiti rendah barangan itu meletus pada 2011 selepas beberapa pemimpin pembangkang mendakwa pencemaran susu tepung, selain harga barang yang tidak semurah seperti didakwa. Ia memaksa penarikan balik susu tepung di bawah produk 1Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan