Jumaat, 29 September 2017

Selepas Johor, kini Perlis juga ada dobi ‘konsep Islam’

 
Walaupun tidak menghalang orang bukan Islam memasuki premis terbabit, kakitangan yang mesra itu memaklumkan orang bukan Islam tidak dibenarkan mencuci pakaian dalam kedai dobi berkenaan. 


dobiperlisbaru


PETALING JAYA: Selepas isu dobi “mesra Muslim” di Muar, kini Perlis juga didapati mempunyai sebuah kedai dobi layan diri yang hanya membuka pintunya kepada umat Islam.

Difahamkan, kedai dobi itu baru dibuka di pusat komersial K-Parc di Kampung Bakau, Kangar. Hanya 3 premis baru beroperasi di kawasan terbabit.

Sin Chew Daily melaporkan papan tanda kedai itu tertera “Islamic Laundry Concept” dengan kedua-dua dinding di dalam premis itu diletakkan notis “Pusat dobi layan diri ini khusus untuk orang Muslim sahaja”.

Difahamkan, ada orang Cina yang bertanya kepada kakitangan kedai itu bagi mendapatkan kepastian mengenai dasar pengasingan pelanggannya.

Walaupun tidak menghalang orang bukan Islam memasuki premis terbabit, kakitangan yang mesra itu memaklumkan orang bukan Islam tidak dibenarkan mencuci pakaian dalam kedai berkenaan.

Kebanyakan pelanggan dobi yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam itu, terdiri daripada orang bekerja.

Pengusaha turut menawarkan perkhidmatan menyimpan pakaian, selain menyediakan wifi percuma dan bilik sembahyang serta permainan untuk kanak-kanak.

Baru-baru ini, pelbagai pihak mempersoalkan tindakan sebuah kedai dobi layan diri di Muar meletakkan papan tanda “mesra Muslim” yang memaklumkan kedai itu hanya menerima pelanggan Islam atas “faktor kesucian”.

Susulan itu, Sultan Johor yang dipetik akhbar The Star pada Rabu lalu memerintahkan pemilik terabbit memohon maaf atau berdepan penutupan.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyifatkan amalan itu karut, memalukan dan bersifat ekstremis kerana Johor ialah negeri progresif, moden dan sederhana, bukannya negeri Taliban.

Pemilik Elit Laundry yang enggan dinamakan itu kemudiannya memohon maaf dan menurunkan papan tanda itu.

Sementara itu, Adun Titi Tinggi daripada MCA, Khaw Hock Kong dipetik Sin Chew Daily berkata, selepas isu dobi “Mesra Muslim” di Muar baru-baru ini, beliau dimaklumkan orang ramai yang negeri itu juga mempunyai kedai dobi sedemikian.

Katanya, perkara itu disahkan betul selepas beliau sendiri mengunjungi kedai dobi terbabit.

Beliau bagaimanapun bimbang jika konsep perniagaan sedemikian terus berleluasa, golongan bukan Islam di negara ini akan berfikiran negatif terhadap Islam yang ternyata bertentangan matlamat membentuk masyarakat bersatu padu, harmoni, sederhana serta bertoleransi.

Tiada ulasan: