Khamis, 28 September 2017

Azizulhasni lelong sarung tangan Rio2016 untuk pusat tahfiz

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Jaguh keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang telah melelong sarung tangan yang digunakan semasa Sukan Olimpik Rio 2016 dengan harga RM5,000 untuk sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar di Jalan Keramat Hujung, di sini, pada 14 Sept lepas.
 
Beliau yang pulang sehari dari Melbourne, Australia, semalam meluangkan masa untuk melawat pusat tersebut untuk menyampaikan sumbangan dan juga hasil daripada lelongan amal yang diadakan di akaun Instagram beliau, empat hari lepas.
 
Katanya, sumbangan tersebut diharap dapat membantu menampung keperluan pusat tahfiz berkenaan.
 
"Hasil daripada lelongan dengan pembida tertinggi dengan RM5,000 dan juga ditambah dengan sumbangan beberapa individu, kita sedekahkan kepada pusat tahfiz ini.
 
"Saya harap dengan bantuan kecil ini dapat meringankan pusat tahfiz dan anak-anak tahfiz ini," katanya, yang turut mengikuti perkembangan tragedi kebakaran pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 murid serta dua warden pusat berkenaan.
 
Azizulhasni melelong sepasang sarung tangan basikal 5Bling edisi Rio2016 yang digunakan semasa meraih pingat gangsa acara keirin pada temasya Sukan Olimpik di Rio tahun lepas.
 
Lelongan pertama yang berakhir jam 8 malam semalam, menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjadi pembida tertinggi dengan nilai RM5,000.
 
Sebelum ini, jaguh trek negara itu pernah melelong sarung tangan 'Save Gaza' yang digunakan pada temasya Sukan Komanwel 2014 dan sumbangan disalurkan ke Gaza.
 
Sementara itu, pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmod berkata beliau sangat berbesar hati menerima kunjungan yang tidak disangka daripada seorang atlet bertaraf dunia.
 
"Ketika berbual tadi, dia (Azizulhasni) berkongsi kesedihan dan rasa keperitan apabila membaca perkembangan berita (kebakaran) ini," katanya.
 
Menurut beliau, Azizulhasni turut memaklumkan beliau mungkin akan mengunjungi pusat tahfiz berkenaan jika pulang ke tanah air.
 
 

Tiada ulasan: