Khamis, 28 September 2017

Bajet 2018: MII mahu pelepasan cukai tambahan



Bernama

KUALA LUMPUR – Institut Insurans Malaysia (MII) mahukan pelepasan cukai tambahan pada Bajet 2018 bagi menggalakkan lebih ramai pengguna melanggan insurans perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MII Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, langkah itu akan membantu mengurangkan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan awam selepas lebih ramai pesakit mula beralih daripada hospital swasta kepada hospital awam.

“Walaupun segmen kesihatan awam menjadi pilihan kepada warga tua dan golongan kurang berkemampuan, pesakit daripada sistem kesihatan swasta mula membanjiri sektor itu dan ini memberi tekanan,” katanya pada Seminar Insurans Kesihatan dan Perubatan 2017.

Dalam perkembangan lain, katanya, walaupun caruman premium dan kadar langganan mencatatkan peningkatan, tuntutan insurans turut meningkat.

“Industri memandang berat peningkatan jumlah tuntutan yang kini mencecah 71.6 peratus. Ini bermaksud tiga perempat daripada premium dikutip terpaksa dikeluarkan kembali untuk tuntutan.

“Sedangkan kami terpaksa menanggung perbelanjaan lain seperti kos pengurusan dan kepakaran, jadi ini hanya akan mengakibatkan kerugian atau sekadar mendapat kos kembali bagi pembekal insurans kesihatan dan perubatan,” katanya.

Beliau juga diminta mengulas laporan yang mendakwa kononnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan sebahagian besar polisi dipulangkan semula sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, cukai itu bukan faktor penyumbang kepada penyerahan semula polisi berkenaan. – BERNAMA

Tiada ulasan: