Rabu, 27 September 2017

Seleweng dana kerajaan, setiausaha politik menteri ditahan SPRM

 
Ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak itu ditahan selepas tangkapan 4 orang berhubung penyelewengan wang PTPK.


Dzulkifli-Ahmad-sprm

KEPALA BATAS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang setiausaha politik sebuah kementerian bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata SPRM menahan setiausaha berkenaan pada jam 12.30 tengah hari ini dan individu berkenaan akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan badan itu menjalankan siasatan dengan lebih lanjut.

“Sebelum ini, kita menangkap 4 orang berhubung perkara sama penyelewengan wang PTPK yang mana semua individu terbabit telah pun direman dan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Hari ini SPRM membuat tangkapan terhadap seorang lagi yang merupakan setiausaha politik sebuah kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Kembara Jelajah Anti-Rasuah 2017’ (KEJAR ‘17) peringkat negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang hari ini.

Dzulkifli berkata setiausaha terbabit merupakan individu ke-5 yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan tersebut.

Menurut sumber SPRM, individu berkenaan yang berumur 61 tahun itu merupakan ahli biasa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Serian, Sarawak.

“Individu itu ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari ini, ” kata sumber itu.

Pada 13 September lalu, SPRM menahan 4 individu kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

Mereka yang ditahan adalah seorang ketua eksekutif bergelar “Datuk” berumur 58 tahun ditahan bersama-sama setiausaha perbadanan berumur 34 tahun, penolong pegawai kewangan berumur 32 tahun dan pengarah sebuah syarikat yang bergelar doktor berumur 38 tahun di beberapa lokasi di ibu negara dalam operasi khas SPRM.

Bagaimanapun, semua individu terbabit yang direman 6 hari bermula 14 September lalu masing-masing dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Tiada ulasan: