Rabu, 27 September 2017

Selepas kontroversi dobi, DAP gesa akta baru haramkan diskriminasi

 
Ahli parlimen DAP berkata Malaysia memerlukan undang-undang itu agar diskriminasi tidak berlaku pada rakyat dalam isu agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina.


Teo-Nie-Ching-dobi-layan-diri

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya undang-undang kesamarataan atau akta anti diskriminasi diwujudkan bagi mengelakkan sebarang bentuk diskriminasi di Malaysia, kata wakil rakyat DAP.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata demikian selepas melihat isu diskriminasi yang dilakukan dobi layan diri di Muar, Johor yang tidak membenarkan pelanggan bukan Islam menggunakan perkhidmatannya.

“Seharusnya tidak ada diskriminasi berlaku pada setiap rakyat dalam isu agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina. Kita memerlukan undang-undang ini untuk mengangkat prinsip perlembagaan bahawa sebarang bentuk diskriminasi tidak boleh diterima.

“Menyedihkan apabila kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-60, negara kita yang tercinta lebih berpecah dari sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teo yang juga pembantu setiausaha publisiti DAP berkata, undang-undang kesamarataan atau anti diskriminasi merupakan penyelesaian kepada isu diskriminasi yang berlaku dalam negara.

“Prinsip kesamarataan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan setiap individu mempunyai hak sama rata di bawah undang-undang dan tertakluk di bawah perlindungan undang-undang.

Perlaksanaan itu bagaimanapun terhenti apabila Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan supaya dasar tersebut dihentikan dan menyifatkan ia perkara karut dan memalukan.

Manakala pengusaha dobi itu pula memohon maaf kepada Sultan, rakyat Johor dan seluruh rakyat di Malaysia atas tindakannya itu.

“Sultan Johor mengarahkan dobi berkenaan menghentikan dasar berkenaan atau berdepan dengan risiko ditutup operasi, tetapi ia bukan penyelesaian yang kekal.

“Rakyat Johor bertuah kerana Sultan Johor sendiri progresif menyuarakan isu seperti ini tetapi bagaimana jika ia berlaku di negeri lain di Malaysia?

“Adakah kita boleh memberi jaminan jika isu seperti ini berlaku lagi, ia akan ditangani dengan cara serupa, terutama apabila Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin memuji pelaksanaan dobi itu sebagai ‘cantik’,” katanya.

Beliau juga berharap isu ini akan disuarakan apabila Dewan Rakyat bersidang pada Oktober depan.
“Kita boleh wujudkan jawatankuasa tidak berparti untuk melaksanakan mesyuarat secara bersama bagi membincangkan mengenai isi kandungan akta berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: