Khamis, 28 September 2017

Pusat pemindahan banjir terakhir Kedah ditutup

Kumara Sabapatty
Mohd. Zul Khairi Shamsuddin
 
 
ALOR SETAR  – Pusat pemindahan banjir yang terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan Kodiang Lama, di Daerah  Kubang Pasu telah ditutup sepenuhnya petang tadi.
 
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah, Left. Kolonel (PA) Mohd. Zulkhairi Shamsuddin mengesahkan penutupan pusat ke-34 itu ketika ditemui di ibu pejabatnya di Wisma Persekutuan, pusat bandaraya di sini.
 
Katanya, Pusat Sekolah Kebangsaan Kodiang Lama di daerah Kubang Pasu yang telah menempatkan seramai tujuh keluarga dan kira-kira 40 mangsa sehingga petang tadi ditamatkan sepenuhnya.
 
“Sukacitanya mengesahkan bahawa Pusat Pemindahan Banjir (PP) terakhir yang telah dibuka sejak 23 September lalu, iaitu Sk Kodiang Lama  ditutup secara rasmi pukul 6 petang tadi,” katanya kepada MalaysiaGazette di ibu pejabat APM hari ini.
 
Malah katanya dengan penutupan pusat pemindahan itu, operasi Bilik Gerakan Bencana Banjir APM  di negeri Kedah berakhir sepenuhnya pada pukul 6 petang.
 
Beliau merakamkan jutaan terima kasih diatas segala kerjasama dan liputan oleh agensi media sepanjang operasi dan bantuan kemanusiaan banjir kali ini.
 
“Seramai 400 anggota kami termasuk 30 pegawai APM telah terlibat dalam tugas 24 jam tanpa mengenali erti penat selain telah menggerakkan  aset angkatan kami iaitu 10 bot dan 6 lori sepanjang  operasi menyelamat mangsa banjir di negeri ini,” ujarnya lagi.
 
Malah jelasnya, pihak APM berjaya mengawal situasi banjir di negeri ini memandangkan bencana yang telah melanda di lebih lima daerah negeri ini tidaklah besar seperti yang disangka semua di luar.
 
“Sebenarnya banjir ini disebabkan fenomena air pasang selama 4 hari berturut-turut di laut menyebabkan Jabatan Perparitan dan Saliran menutup pintu mengelak paras air laut tinggi tidak menggelamkan sungai dan penempatan penduduk.
 
“Itulah menyebabkan air banjir tidak dapat mengalir menyebabkan keadaan teruk kali ini, jika kita lihat beberapa kejadian hujan lebat sebelum ini air surut segera pada hari yang sama.
 
“Kedudukan perumahan kampung tertentu di beberapa daerah seperti Kampung Banggol Besi, Tanah Merah daerah Pendang di kawasan rendah tepi bendang terjejas teruk dan air termenung dan surut lambat,” tegasnya lagi.
 
Bagaimanapun katanya, pihaknya dapat memastikan situasi terkawal tanpa sebarang insiden kehilangan nyawa dan segala pusat yang ditutup dibersihkan segera dengan kerjasama pihak sekolah dan agensi kerajaan lain. – MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: