Jumaat, 29 September 2017

Kertas soalan hilang, JAKIM ubah tarikh UPKK 2017

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerima laporan mengenai satu kejadian pecah masuk di Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), semalam.
 
Insiden itu mengakibatkan kehilangan tiga kertas soalan bagi tiga subjek peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi tahun 2017.
 
Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, berkata pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.
 
"Kita dimaklumkan ada pihak telah memecah masuk bangunan JAIM dan mengambil tiga kertas soalan bagi tiga subjek yang dijadualkan diadakan pada 2 hingga 5 Oktober depan," katanya dalam satu kenyataan.
 
Bagaimanapun, beliau berkata, insiden berkenaan tidak menjejaskan pelaksanaan peperiksaan UPKK 2017 kerana pihaknya ada menyediakan set soalan kedua bagi subjek-subjek tersebut.
 
"Bagi memastikan kelancaran peperiksaan terbabit, kita telah susun jadual peperiksaan yang baru," katanya.
 
Othman berkata, pada hari Isnin, 2 Oktober iaitu hari pertama peperiksaan, ujian kertas Sirah akan bermula pada jam 2.15 petang dan tamat pada 3.45 petang manakala kertas Adab (Akhlak Islamiyah 1) akan dijalankan pada jam 4 hingga 5.30 petang.
 
"Ia diikuti oleh kertas Lughah Al Quran keesokkan harinya bermula 2.30 hingga 4.30 petang.
 
"Ujian kertas Ulum Syariah akan diadakan pada hari ketiga, bermula pada jam 2.30 hingga 4 petang dan kertas Adab (Akhlak Islamiyah 2) pada jam 4.15 hingga 5.15 petang hari yang sama.
 
"Hari terakhir iaitu, Khamis, 5 Oktober akan diadakan ujian untuk kertas Pelajaran Jawi dan Khat yang bermula pada jam 2.30 sehingga 4 petang," katanya.
 
 

Tiada ulasan: