Jumaat, 29 September 2017

Lebih baik Khalid sertai PAS daripada BN - Tuan Ibrahim

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai parti itu daripada bekerjasama dengan tiga lagi bekas menteri besar daripada Barisan Nasional (BN) untuk menawan kembali negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
 
Beliau berkata ini kerana pendekatan itu akan menguntungkan pembangkang terutamanya PAS untuk meraih sokongan dan undi.
 
"Saya fikir dalam konteks nak menumbangkan Umno-BN tak mungkin Tan Sri Khalid akan bergabung sebab dia pun sebagaimana kita tahu berasal dari PKR.
 
"Jadi dalam konteks untuk bergabung bagi menumbangkan BN saya yakin Tan Sri Khalid tidak akan bersama sebab komitmen dia bersama dengan pembangkang masih kuat," katanya kepada Antarapos.
 
Menurut Tuan Ibrahim, Abdul Khalid tidak perlu kekal mewakili parti Bebas sebaliknya boleh memilih untuk menyertai PAS yang sentiasa membuka pintu untuk bekas pemimpin PKR itu.
 
Tambah beliau lagi, PAS juga mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh penting dalam negara untuk bersama dengan perjuangan parti itu pada PRU14 tidak lama lagi.
 
"Ya, lebih baik dia sertai PAS.
 
"Sebenarnya kita ada mengadakan beberapa pertemuan, kita juga sedang berunding dengan banyak pihak seperti dengan tokoh-tokoh untuk bersama PAS.
 
"Termasuk Tan Sri Khalid juga dalam perundingan, kita harapkan beliau bersama dengan PASlah," katanya.
 
Sebelum ini Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata sekiranya Abdul Khalid sudi bersama BN.
 
Keputusan itu boleh menyokong usaha pihaknya bagi menunjukkan kepada rakyat mengenai tatacara dan perancangan yang pernah dilaksanakan tiga bekas menteri besar semasa membangunkan Selangor.
 
Untuk rekod, tiga bekas menteri besar Selangor akan bergabung bagi memastikan BN menawan kembali negeri tersebut pada PRU14.
 
Bekas menteri besar yang kembali menyertai BN ialah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib manakala dua lagi yang dijangka berganding bahu ialah Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo.
 
 

Tiada ulasan: