Jumaat, 29 September 2017

MAS nak buat apa dengan pesawat RM40 bilion?


Oleh

Pertemuan tersebut sepatutnya mengenai kes buang kerja saya daripada Utusan Melayu (M) Berhad kira-kira lapan tahun yang lalu yang dikendalikan oleh peguam Sivanesan Achalingam yang juga ADUN Sungkai dan ketua biro buruh DAP.

Mahkamah Perusahaan masih mengadilinya kes itu, entah bila akan dapat pengadilan dan keputusannya dalam kes saya melawan syarikat media yang dimiliki parti pemerintah Umno.

Selesai membincangkan kes saya, Sivanesan beralih topik perbualan kepada hal yang lebih besar iaitu isu pembuangan sekitar 6,000 kakitangan Malaysia Airlines Berhad (MAS) kira-kira dua tahun lalu.

Beliau bertindak sebagai peguam dalam beberapa kes pembuangan itu setelah ia dirujuk oleh menteri terbabit kepada Mahkamah Perusahaan.

Cerita beliau, ramai di kalangan pekerja yang dibuang sukar meneruskan kehidupan setelah gagal untuk mendapat pekerjaan baru dalam masa yang singkat.

Ini ditambah lagi kos sara hidup yang semakin tinggi dan terpaksa membuat dua, tiga pekerjaan dalam satu hari.

Lebihan kakitangan MAS

Dalam isu pembuangan pekerja itu, suka untuk saya mengimbas kembali alasan bekas ketua pegawai eksekutifnya, Christoph R Mueller yang kini telah meninggalkan firma penerbangan tersebut.

Selain pendekatan mengurangkan kos, Mueller mendakwa pengurusan kakitangan syarikat itu lemah sehingga ramai di kalangan 20,000 pekerja MAB tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan semasa bertugas.

“Malah, ketika saya berjalan di hangar, ada pekerja yang tidur. Sebab itu, saya terpaksa secara radikal mengurangkan 6,000 pekerjaan,” Muller dipetik sebagai berkata kepada stesen penyiar Jerman, Deutsche Welle (DW).

Namun, apa yang kita saksikan hari ini, selepas dua tahun melaksanakan pelan pemulihan MAS, yang turut menyaksikan penamatan beberapa laluan dan penjualan pesawat, negara dikejutkan dengan pengumuman kerajaan untuk membeli pesawat Boeing bernilai AS$10 bilion dalam lima tahun.

Pembelian pesawat AS$10b

Dalam pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata:

“Kami bersedia untuk 25 pesawat 737 MAX 10 dan lapan 787 Dreamliners. Dan terdapat kebarangkalian kukuh – bukan kemungkinan – kebarangkalian kami akan tambah 24 lagi 737 MAX 10 pada masa depan. Jadi dalam tempoh lima tahun, rundingan ini akan bernilai lebih AS$10 bilion,” kata Najib.

Realitinya, jika menurut pelan pemulihan MAS yang bermula pada 2015, syarikat tersebut kini masih merangkak untuk berada dalam landasan kukuh bagi mencatatkan untung yang disasarkan pada tahun depan.

Maknanya, pada ketika kerajaan memberi komitmen untuk membelanjakan AS$10 bilion untuk menambah pesawatnya, MAS masih lagi tenat dari segi kewangan kumpulan itu kerana mencatatkan kerugian dalam operasinya.

Justeru, timbul persoalan dan kesangsian oleh banyak pihak mengenai sumber dana AS$10 bilion berkenaan untuk membeli pesawat buatan Amerika Syarikat itu.

Soalnya, dana siapa

Apakah MAS akan menggunakan dana dalaman atau terpaksa meminjam daripada institusi kewangan atau Khazanah Nasional Bhd selaku pemegang saham terbesarnya untuk membiayai pembelian tersebut?

Daripada sudut lain pula, apabila MAS membeli pesawat baru, maknanya syarikat yang kini terbang ke 54 destinasi di 21 negara perlu menambah laluan penerbangan baru selain meningkatkan jumlah kakitangannya.

Bukankah MAS perlu melakukan banyak rundingan sebelum boleh memasuki laluan baru yang belum pasti berjaya didapatkannya dan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk melatih kakitangan baru bagi melayani pelanggan dalam pesawat barunya itu.

Setelah membuang 6,000 kakitangan kira-kira dua tahun yang lalu, MAS terpaksa mengambil pula pekerja baru dan melatih mereka sedangkan jika dikekalkan pekerja lama, kos-kos latihan itu dapat dijimatkan.

MAS terus belajar

Justeru, tidak salah jika ada pihak yang mempertikai malah memperlekehkan komitmen kerajaan dalam pembelian pesawat baru bernilai AS$10 bilion itu kerana kerajaan nampak agak tergesa-gesa untuk melabur walaupun MAS belum pulih sepenuhnya.

Adalah menjadi harapan rakyat negara ini untuk melihat MAS terus gah dalam persaingan industri penerbangan global yang semakin sengit terutama dengan adanya dasar langit terbuka.

Mungkinkah MAS perlu belajar daripada AirAsia bagaimana mengoptimumkan penggunaan pesawatnya dengan jumlah kakitangan.

Saban tahun, firma penerbangan tambang murah itu mencatatkan keuntungan manakala MAS sebaliknya.

Marilah kita cuba untuk bersangka baik walaupun ada pihak yang menganggap ada udang di sebalik batu dalam urus niaga pembelian tersebut.

Semuanya kerana pilihan raya umum Malaysia akan diadakan tidak lama lagi. – Roketkini.com

*Amran Ahmad Nor adalah anak kepada bekas pemimpin DAP Allahyarham Ahmad Nor dan bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu
*Rencana asal telah diterbitkan di portal Malaysiakini


Tiada ulasan: