Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Bekas ahli Majlis Pimpinan
Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saaduddin
tidak akan sesekali menjawab isu 'tiada duit' yang dilemparkan Tan Sri
Muhyiddin Yassin kepadanya.
Anina berkata beliau tidak akan sesekali merendahkan mentalitinya
sepertimana Presiden PPBM itu yang mengheret isu peribadi untuk
menyerangnya.
Anina sebaik sahaja keluar daripada PPBM menyatakan hasratnya untuk
mengajak Muhyiddin berdebat bersabit parti itu dalam apa jua isu, namun
belum pun surat rasmi dihantar bekas Timbalan Perdana Menteri itu
melatah dan menuduhnya sebagai tiada 'locus standi'.
"Saya tidak akan melayan perkara yang
saya fikir bukan taraf bekas timbalan perdana menteri, untuk
berkata-kata. Saya tidak mahu meletakkan diri saya serendah itu.
"Dia tak jawab soalan saya mengenai 'locus standi' sebaliknya
mengheret kepada isu peribadi kononnya Anina tak ada duit. Itu bukan
taraf seorang bekas Timbalan Perdana Menteri untuk menjawab pelawaan
saya.
"Sebagai seorang ahli politik yang ada nama besar, yang ada pengalaman
40 tahun dalam pentadbiran negara, tak kan itu mentalitinya. Takkan
begitu cara Tan Sri jawab soalan saya? Saya fikir dia pun tidak suka
jika sesiapa pun bertanyakan soalan peribadi kepada dia," ujarnya ketika
ditemubual secara eksklusif Antarapos.
Anina berkata sehingga kini beliau menunggu Muhyiddin menjawab apakah 'locus standi' yang dimaksudkannya bersabit pelawaan debatnya itu.
"Dimana perbezaan taraf antara saya
dengan dia? Saya fikir saya sama taraf sahaja dengan dia. Bezanya dia
adalah elitis dan saya adalah marhaen. Dia presiden parti dan saya ketua
srikandi yang dipecat. Saya adalah pengasas PPBM. Jadi 'locus standi' apa yang dia maksudkan?
"Kenapa ada jurang antara presiden yang belum lagi pun berkuasa - parti
kecil yang baru setahun jagung usianya. Kenapa perlu dia nak
pertahankan 'status qou' dia sebagai TPM?," tegas Anina.
Anina berkata beliau tidak pelik jika ada ahli atau mana-mana bahagian
dalam PPBM berkecil hati dengan layanan Muhyiddin yang padanya tidak
menghargai perit jerih mereka sebelum hingga tertubuhnya PPBM.
"Jika saya yang sudah berjuang dari
awal dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir (Mohamad), sebelum dia
(Muhyiddin) masuk PPBM - pun saya dilayan sebegini, saya tidak terkejut
jika ada orang lain juga tidak senang hati dilayan presiden parti.
"Jika anda (Muhyiddin) tidak membela saya, bagaimana anda hendak menjaga nasib 32 juta rakyat Malaysia," katanya.
Anina sebelum memutuskan untuk keluar PPBM ditohmah dengan pelbagai
dakwaan, namun kepimpinan parti tidak membelanya sama ada mengenai
fitnah skandal seks, dakwaan menerima 'dedak' RM7 juta daripada Umno
selain digugurkan jawatan ketua srikandi dengan cara memalukan.
Beliau berkata alasan yang diberikan PPBM atas pelucutan jawatan itu
adalah Anina memalukan parti dengan skandal seks itu namun tidak pula
memecat bekas pensyarah itu daripada menduduki kerusi ahli majlis
tertinggi.
Selepas sembilan bulan membuat pertimbangan, Anina kemudiannya mengumumkan untuk keluar parti, minggu lalu.
"Keputusan saya untuk keluar daripada parti adalah keputusan saya
sendiri. Tiada siapa pun yang pernah mempengaruhi saya. Saya tidak buat
keputusan dalam masa dua hari, dua minggu atau dua bulan tapi sembilan
bulan.
"Saya pertimbang dan saya kaji semasak-masaknya. Saya lihat daripada
semua sudut barulah saya buat keputusan. Keputusan saya adalah tepat
bagi saya," katanya sambil tersenyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan