Rabu, 27 September 2017

Kenaikan gaji, insentif cukai mungkin dalam Bajet 2018, kata laporan RHB

 
Laporan RHB meramalkan Menteri Kewangan Najib Razak akan membentangkan belanjawan pilihan raya yang akan memberi banyak tawaran kepada rakyat.


budget-civil-servant

KUALA LUMPUR: Bajet 2018 kemungkinan memberi banyak tawaran kepada rakyat kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga sedang menumpukan perhatian kepada plihan raya umum yang harus diisytihar sebelum 24 Ogos 2018.

Ini mungkin merangkumi kenaikan gaji dan elaun yang lebih baik untuk kakitangan awam, yang menjadi bank undian untuk Barisan Nasional (BN), kenaikan bayaran BR1M, bantuan kepada peneroka Felda, kenaikan pelepasan cukai daripada RM2,500 kepada RM2,700 setahun, dan juga kenaikan untuk pelepasan cukai perbelanjaan kesihatan, kekurangan upaya dan pendidikan awal kanak-kanak.

Pengendali perkhidmatan kongsi kenderaan dan ahli perniagaan terlibat dalam ekonomi digital juga mungkin dikenakan cukai pendapatan.

Berikut adalah ramalan RHB dalam kemas kini ekonomi terbarunya yang memfokuskan kepada Bajet 2018.

Belanjawan itu dijangka mesra pasaran dengan menawarkan manfaat kepada individu dan perniagaan untuk menambah faktor perasaan senang hati.

Najib, sebagai menteri kewangan, dijangka membentangkan Bajet 2018 pada 27 Oktober di Dewan Rakyat.

Laporan RHB mengatakan Bajet 2018 akan menangani isu kos hidup yang semakin meningkat.

Contohnya, laporan itu mengatakan, kerajaan dijangka menaikkan bantuan khas RM500 kepada kakitangan awam dan RM250 kepada pesara kerajaan yang dulunya diumumkan pada Bajet 2017.

Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga dijangka menerima lebih bantuan wang kerana peruntukan BR1M dijangka dinaikkan daripada RM6.8 bilion pada 2017 kepada RM7.5 bilion pada 2018.

Laporan itu juga menjangka subsidi bantuan untuk nelayan, penoreh getah dan pelajar akan kekal.
Gaji dan elaun guru juga mungkin dinaikkan bagi menggalakkan kualiti guru lebih baik, kata laporan itu

“Kami percaya belanjawan itu mungkin akan terus bertumpuan rakyat dan fokus kepada pembangunan kesejahteraan rakyat bagi mengurangkan beban kos hidup semakin tinggi.” kata laporan RHB itu.

“Jadi, kami percaya belanjawan ini akan menyediakan lebih banyak tawaran dan bantuan untuk menolong golongan berpendapatan rendah, dengan isu semasa seperti kos hidup semakin tinggi dan kemampumilikan rumah yang terus memberi kesan kepada kebanyakan rakyat.”

RHB mengunjurkan defisit bajet sebanyak RM41.6 bilion atau 2.9% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2018, yang akan pulih sedikit daripada 3% KDNK pada 2017.

Antara kemungkinan lain diramal RHB dalam Bajet 2018:
  • Memasukkan perkhidmatan kongsi kenderaan dan ekonomi digital dalam sistem percukaian. “Kerajaan mungkin akan memperkenalkan cukai untuk perniagaan e-perdagangan pada kadar rendah untuk menggalakkan pendaftaran perniagaan.”
  • Projek mega akan diteruskan tanpa kebimbangan tentang pembiayaan.
  • Pengurangan secara sukarela dalam sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka tidak dilanjutkan kepada 2018 kerana pemulihan pengambilan swasta pada suku kedua tahun ini.
  • Dengan tema “Negaraku Membentuk Masa Depan” untuk belanjawan kali ini, kerajaan dijangka mengalihkan fokus belanjawan terdahulu iaitu disiplin fiskal kepada yang menekankan aspirasi negara untuk 30 tahun akan datang di bawah Transformasi Nasional 20150 (TN50).
  • Kerajaan mungkin meletakkan penekanan lebih pada pembangunan ekonomi menggunakan teknologi seperti robotik dan perkomputeran atas talian untuk mewujudkan kemajuan.
  • Perbelanjaan kerajaan bakal meningkat secara sederhana, atas jangkaan hasil daripada harga minyak lebih kukuh dan kutipan cukai akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi.
  • Belanjawan itu juga bakal memberi impak positif kepada sektor pembinaan.
  • Cukai seperti yang dikenakan pada alkohol dan rokok mungkin tidak dinaikkan.
  • Kerajaan kemungkinan tidak akan memotong kadar cukai pendapatan korporat dan individu untuk 2018.
  • Kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dijangka meningkat. Kerajaan mensasarkan GST untuk 2018 akan meningkat pada RM45 bilion daripada RM43 bilion yang dijangkakan untuk tahun ini.
  • Kerajaan mungkin akan menaikkan peruntukan untuk pembangunan.
  • Kerajaan dijangka menguruskan perbelanjaan emolumen tinggi yang membentuk 34.8% jumlah perbelanjaan pada penggal pertama 2017. Bagaimanapun, RHB menjangka emolumen akan terus membentuk sebahagian besar (32.4%) jumlah perbelanjaan 2018, kerana secara politik, mengurangkan tenaga kerja kakitangan awam adalah sensitif.
  • Kerajaan mungkin melaksanakan reformasi untuk pencen yang membentuk 10.4% daripada jumpah perbelanjaan pada penggal pertama tahun ini.
  • Kebetulan dengan PRU14, perbelanjaan rawatan kesihatan dan subsidi pendidikan dijangka meningkat tahun depan.
  • Jumlah lebih tinggi dijangka diperuntukkan untuk program Permata (sistem pendidikan awal untuk kanak-kanak pintar), daripada RM85 juta pada 2017.
  • Peruntukan biasiswa bawah program MyBrain15 dijangka dinaikkan dalam Bajet 2018 untuk menambah jumlah profesional.
  • Kerajaan dijangka meningkatkan pertumbuhan ekonomi digital.
  • Kemungkinan insentif cukai untuk industri yang merintis bidang seperti automasi, pembangunan robotik, data besar dan perkhidmatan penyimpanan atas talian.
  • Kerajaan dijangka menyediakan insentif lanjut untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) bagi merangsang pertumbuhan.
  • Defisit belanjawan diunjurkan menurun sedikit kepada 2.9% KDNK untuk 2018, daripaa 3% KDNK pada 2017.
  • Kerajaan mungkin akan menaikkan perbelanjaan 2018 pada 4.3% kepada RM269.3 bilion daripada jumlah yang diramal sebanyak RM258.2 bilion pada 2017, dengan harapan hasil meningkat daripada harga minyak lebih kukuh dan kutipan cukai.
  • Laporan itu juga mengatakan hasil dijangka pulih sebanyak 4.5% kepada RM226.9 bilion pada 2018, daripada RM217.2 bilion dijangka tahun ini.

Tiada ulasan: