Khamis, 28 September 2017

Gambaran 3D tragedi tahfiz Datuk Keramat tersebar

 
Gambaran 3D tragedi tahfiz Datuk Keramat tersebar



Selepas hampir dua minggu kes kebakaran tragis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, satu animasi tiga dimensi (3D) yang menggambarkan tragedi meragut 23 nyawa itu mulai dikongsi di Facebook dan Youtube hari ini.

Dihasilkan aktivis sosial Muhamad Harris Nasril, video berdurasi hampir empat minit tersebut berdasarkan maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Visual bertajuk “3D Animation Reconstruction of Ittifaqiyah Tahfiz School” itu memaparkan secara terperinci lokasi kebakaran bermula, usaha lapan pelajar menyelamatkan diri dan gambaran bagaimana 23 yang lain terperangkap lalu terkorban.

Di awal video tersebut, ditunjukkan 21 katil dua tingkat dan tiga bilik warden yang terdapat di aras tiga bangunan berwarna kuning itu.


Gambaran tragedi dalam video berdurasi hampir hampir empat minit itu boleh dilayari di youtube.

Terdapat binaan partisyen haram yang menghalang ke pintu keluar manakala ruang memasak terletak di sebelah bilik warden diikuti tandas.

Turut dinyatakan dalam animasi itu tentang suspek yang meletakkan dua tong gas berwarna hijau di depan pintu masuk dalam keadaan masing-masing menegak dan mendatar.

“Suspek mencurahkan petrol pada almari barang, rak tuala dan rak kasut. Suspek kemudian membuka kedua-dua injap tong gas.

“Api mula marak di hadapan pintu masuk sekali gus menghalang penghuni keluar. Gas dan tilam yang disusun rapat mempercepatkan kebakaran,” dipetik daripada video itu.

Selanjutnya, diberitahu mangsa cuba melarikan diri melalui tingkap di bahagian kiri dan kanan bangunan tetapi tingkap gagal dibuka manakala kesemua sembilan ruang tingkap dipasang jeriji kekal menyebabkan mangsa terperangkap.

“Hanya satu jeriji tetap di sebelah kiri berjaya direntap mangsa. Melalui tingkap itu, lapan mangsa berjaya keluar dan turun melalui paip air kemudian menggelongsor ke awning

“23 mangsa yang terkorban ditemui bertindihan di kiri dan kanan bangunan,” dipetik dari video itu lagi.

Paparan seterusnya menunjukkan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh; Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia, Ar Ezumi Harzani dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Reaksi Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmood kemudiannya turut disertakan.

“Status bangunan kita tak perlu bincang sebab kita menumpang di sini. Adat orang menumpang takkan kita nak tanya ada sijil kelayakan atau tidak.

“Jadi sepatutnya pihak ibu bapa terlebih dulu kena tanya bangunan ini ada permit atau tidak sebelum bawa masuk anak tapi mereka tak pernah soal,” katanya yang sebelum itu dilapor sebuah portal berita pada 23 September lalu.

Video tersebut diakhiri dengan senarai 21 pelajar berusia enam hingga 16 tahun yang terkorban serta dua guru masing-masing berusia 25 dan 26 tahun.

Melecur teruk

Dalam hal berkaitan, salah seorang mangsa yang terselamat dilapor hari ini memberitahu dirinya tidak dapat melupakan tragedi menjelang Subuh itu.

Adib Baqir Mohd Khalid, 14, berkata, beliau masih teringat nasib rakan karib seusianya, Muhammad Danieal Md Amin yang turut terkorban dalam kebakaran pusat tahfiz yang dilaporkan kali ke-212 kes sejak 2015 itu.

“Dia (Danieal) ada di belakang, dia juga yang suruh saya keluar dulu. Saya selamat, tapi dia tak selamat.

“Masih terbayang (tragedi), memang takkan lupa. Teringat pada Danieal kerana saya rapat dengan dia,” kata Adib sayu seperti dipetik akhbar Berita Harian hari ini.

Adib yang baharu hampir dua bulan belajar di pusat tahfiz itu memberitahu, dia antara orang terakhir berjaya menyelamatkan diri walaupun tapak tangannya melecur teruk.

“Tangan melecur kerana saya terpaksa pegang bingkai besi tingkap untuk keluar dari bilik yang terbakar,” katanya lagi.

Pelan lantai lokasi tragedi yang dikeluarkan pihak bomba dan menjadi rujukan Harris Nasril.


Tiada ulasan: