Jumaat, 29 September 2017

Khairy bersalah fitnah Anwar pada 2008

KEADILAN DAILY

Anwar



Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memfitnah Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu acara ceramah sembilan tahun lalu.

Hakim Azizul Azmi Adnan berkata dakwaan yang dibuat oleh Khairy adalah serius dan memfitnah plaintif dan beliau mengarahkan Khairy membayar ganti rugi am sebanyak RM150,000 kepada Anwar.

Hakim Azizul bagaimanapun tidak memberikan pampasan bagi ganti rugi teruk kerana menolak wujudnya niat jahat.

Hakim Azizul juga mengarahkan menteri belia dan sukan itu membayar kos RM60,000 kepada Anwar yang sedang meringkuk di Penjara Sungai Buluh kerana Fitnah II.

Khairy adalah Naib Ketua Pemuda Umno pada masa itu dan melancarkan jentera pilihan raya BN Lembah Pantai menjelang pilihan raya umum ke-12.

Beliau pada masa itu dilaporkan sebagai berkata, “DAP main PAS dari kanan, PAS main DAP dari kiri, PKR main dua-dua dari belakang!”

Berdasarkan satu transkrip, beliau kemudiannya berkata, “Tapi pembangkang ini saudara-mara mungkin Datuk Norza tahu istilah ini pembangkang ini dia kahwin muta’ah… Kahwin muta’ah ini saudara-saudara, mazhab Syiah dia mangamalkan kahwin muta’ah. Dia kahwin satu malam, dia main malam tu, esok hari dia cerai, untuk menghalalkan maksiat.

“Parti pembangkang ini dia kahwin muta’ah… dia kahwin PAS main DAP ikut kiri, DAP main PAS ikut kanan, Anwar main dua-dua ikut belakang… lepas tu… bila kalah dia cerai.

“Ini bukan untuk masa depan kita saudara-saudara…”

Anwar memfailkan saman RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada Khairy berikutan ucapan beliau pada 19 Februari 2008, yang kemudiannya dilaporkan oleh Malaysiakini pada hari berikutnya.

Tiada ulasan: