ULASAN - Bayangkan bekas juara tinju dunia, Mike Tyson sedang bersantai-santai di rumah ketika dia kemudian mendapati namanya kembali disebut-sebut, terutama di media sosial.
Bekas juara heavyweight itu seperti diketahui umum pernah menggemparkan dunia selepas menggigit telinga lawannya, Evander Holyfield dalam perlawanan tinju paling diiingati dalam sejarah.
Ketika pusingan ketiga masih berbaki 40 saat, Tyson menggigit telinga kanan Holyfield dan cebisan daging itu jatuh betul-betul di hadapan juri.
Aksi itu mengundang padah buat Tyson apabila dia diisytihar kalah dalam perlawanan penuh emosi itu. Hanya pada tahun 2013, barulah Mike Tyson memulangkan semula cebisan telinga yang disimpan di dalam kotak kepada Holyfield.
Selain kejadian yang berlaku 20 tahun lalu, nama Mike Tyson sudah semakin tenggelam dalam ingatan peminat-peminat tinju seluruh dunia.
Sehingalah kelmarin, nama Mike Tyson kembali dikenang. Bukan di New York atau di London, tetapi bergema di PWTC, Kuala Lumpur. Cuma ejaan sahaja sedikit berbeza - Mat Tyson.
Semuanya gara-gara tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kepulangan semula Tan Sri Muhammad Muhamad Taib ke pangkuan Umno.
Pengumuman penting
Sebelum kira-kira jam 5.00 petang kelmarin, rakyat Malaysia diselubungi teka-teki selepas mendapat tahu ada pengumuman besar ingin disampaikan perdana menteri.
Sangat penting pengumuman itu bagi Najib sehinggakan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa menyingkatkan lawatan kerjanya ke Perlis.
Begitulah ghairah perdana menteri mahu membuat pengumuman itu. Dan keghairahann itu dikhabarkan sebab bukan Mat Taib seorang sahaja akan diumum menyertai Umno.
Kononnya, ada sekurang-kurangnya lapan lagi ADUN PKR di Selangor sepatutnya berada di samping Mat Taib di PWTC. Kononnya juga, pengumuman itu akan mengulangi episod drama politik yang berlaku di Perak pada 2009.
Walaupun khabar angin itu tidak menjadi kenyataan, Umno sebenarnya tidak rugi apa-apa dengan kemasukan Mat Taib seorang diri ke parti itu kelmarin.
Pembangkang juga tidak berasa ralat dengan kehilangan tokoh seperti Mat Taib apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengibaratkan Umno sekadar mengutip 'surat khabar lama'.
Melompat ke Putrajaya
Ramai masih percaya Mat Taib ‘tidak fasih’ berbahasa Inggeris. Pengakuan itu dibuat Mat Taib sendiri ketika ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Brisbane akibat membawa sejumlah wang yang amat besar tanpa isytihar suatu masa dahulu.
Namun ketidakfasihannya berbahasa Inggeris bukan sebab utama mengapa dia meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor.
Selepas itu nama Mat Taib terus tenggelam dalam arus politik negara. Sehingga dia keluar Umno dan menyertai PAS pada 2013, sinar politiknya tidak lagi begitu menyerlah. Dua tahun selepas itu, Mat Taib memutuskan untuk menyertai PKR pula.
Dalam satu temubual dengan Malaysiakini, Mat Taib berkata, dia menyertai PKR kerana tidak dapat menerima PAS yang dilihatnya tidak lagi berminat ke Putrajaya.
Sekarang, Mat Taib sekali lagi mengubah fikirannya buat kali ketiga dalam tempoh lima tahun. Sama ada Mat Taib tidak dapat menahan sabar ke Putrajaya, atau dia sendiri sememangnya tidak percaya PKR dan Pakatan Harapan mampu membawanya ke Putrajaya.
Oleh itu Mat Taib membuat keputusan nekad melompat semula ke parti asalnya yang sudah sedia berada di Putrajaya. Bagi Mat Taib, bukan satu masalah besar kalau selepas ini dia digelar sebagai Raja Katak pula akibat kerap bertukar parti.
Ramai lagi yang buat begitu dan bukan Mat Taib atau Datuk Ibrahim Ali seorang sahaja. Ada yang berbondong-bondong keluar parti untuk menubuhkan parti baru - pun boleh disamakan seperti makhluk amfibia itu juga.
Biarlah Mat Taib menjadi surat khabar lama pun tidak mengapa kerana apa kurangnya dalam HARAPAN.
Seperti sepatah kata Datuk Seri Noh Omar yang tidak menunggu lama untuk memulangkan paku buah keras kepada Azmin:
"Habis yang dia (bekerjasama) dengan Tun Mahathir, bukan surat khabar lama? Mahathir itu surat khabar buruk pun dia (Azmin) boleh junjung."
Hayat politik
Dalam kalangan pemerhati politik, mereka tertunggu-tunggu apakah kedudukan istimewa yang akan diberikan Umno kepada Mat Taib, khususnya di Selangor.
Ada usikan mengatakan kerusi diduduki Noh Omar selaku pengerusi Umno Selangor bakal bergoyang dengan kemunculan semula anak kelahiran Hulu Selangor itu.
Tidak kurang juga cadangan nakal agar Mat Taib diberikan jawatan sebagai duta tugas-tugas khas bagi membantu membawa lebih banyak pembangunan ke Amerika Syarikat.
Walau apapun, setakat ini gelaran Mat Tyson tetap kekal milik Mat Taib dan beliau juga nampaknya selesa digelar sedemikian.
Sekiranya Mike Tyson sebenar sudah bersara, jangka hayat politik Mat Tyson di Malaysia masih panjang.
Tinggal lagi terserah kepada Mat Taib untuk menepuk dadanya sendiri - apa yang dimahukannya daripada Umno dan apa pula yang dia boleh tawarkan kepada parti Melayu itu.
Umno juga boleh memanfaatkan pengalaman dan kepakaran politik Mat Taib sekiranya perlu, sekali gus memulakan gendang perang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Sebagai sebuah parti berpandangan jauh, tentu ada banyak perkara boleh dipelajari Umno daripada Mike Tyson - daripada tumbukan padu untuk menumbangkan musuh - sampailah menggunakan gigi untuk menggigit telinga lawan.
RUSNIZAM MAHAT adalah anggota sidang pengarang Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan