Khamis, 28 September 2017

Jamal kembali dengan tukul besi desak Azmin banteras judi haram

 
'Sumber dalaman' Jamal di PBT serata Selangor memberitahu ada 37 lesen baharu dikeluarkan dan terdapat 50 permohonan lagi.
 
 
jamal-yunos-1


AMPANG: Gabungan NGO Malaysia mendesak kerajaan Selangor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik semua lesen yang diberi kepada pusat hiburan keluarga yang menjalankan kegiatan judi haram, termasuk yang baru diluluskan baru-baru ini.

Pengerusi Datuk Seri Jamal Md Yunos pada sidang media di Ampang hari ini berkata “sumber dalaman” di pihak berkuasa tempatan di serata Selangor memberitahu ada 37 lesen baharu dikeluarkan dan terdapat 50 permohonan lagi.

“Ini bukan amaran tapi desakan. Tak mustahil jika ada sesuatu yang berlaku jika tidak dihentikan sekarang,” katanya.

Beliau bersama pimpinan NGO lain kemudian bergambar untuk media sambil menggayakan tukul panjang pada bahu masing-masing.

Menurut Jamal, tukul itu simbolik desakan mereka kepada pentadbiran Datuk Seri Azmin Ali yang mempunyai kuasa untuk mendesak PBT mengambil tindakan.

“Lesen tersebut diberi oleh pihak berkuasa tempatan,” kata Jamal.

“Rakyat Selangor sudah tidak percaya lagi dengan PBT kerana PBT dikawal oleh ahli majlis yang kerajaannya daripada Pakatan Harapan,” tambahnya.

Beliau memuji pihak berkuasa Sabak Bernam kerana berjaya menghapuskan kegiatan judi haram di daerah itu.

“Kenapa Sabak Bernam boleh dan bahagian-bahagina lain masih lagi beratus-ratus?” soal Jamal.

Usaha ini merupakan kesinambungan daripada kempen Jamal menentang kegiatan judi haram di Selangor sejak 2016. Beliau mendakwa pusat judi haram itu menyalahgunakan lesen pusat hiburan keluarga yang dikeluarkan PBT.

Beliau sebelum ini memberi amaran supaya kerajaan Selangor mengarahkan PBT membatalkan lesen pusat judi berkenaan atau berdepan tindakan “di luar batas undang-undang”.

Selepas menyampaikan peringatan itu Jamal menghayun penukul dan memecahkan sebuah meja.

“Kita percaya undang-undang tetapi (jika) undang-undang itu buta, tuli, pekak…kami yang celik, mendengar, melihat dan menjadi kewajipan kami selaku pemimpin-pemimpin NGO dalam Selangor ini untuk membanteras gejala yang dibuat oleh menteri besar,” katanya.

Februari lalu, Jamal ditahan reman bersama sembilan lain selepas “menyerbu” beberapa premis yang didakwa menjalankan kegiatan judi di Ampang, Selangor.

Peguamnya, Zamri Idrus, dilaporkan berkata satu laporan polis dibuat terhadap Jamal dan anak guamnya disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: