Jumaat, 29 September 2017

Penjara sebulan tak patahkan semangat Tian Chua

KEADILDAN DAILY

tian_chua

Mahkamah Rayuan Putrajaya telah mengekalkan sabitan penjara satu tahun dan denda RM1000 terhadap Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua atas tuduhan melanggar arahan polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada 2012.

Keputusan itu diputuskan oleh panel tiga orang hakim yang diketua Hakim Tan Sri Mohtarudin Baki selepas Tian secara mengejut menarik balik rayuan akhirnya dalam kes ini dan mengetepikan peguamnya, Latheefa Koya serta N. Surendren.

Latheefa Koya ketika ditemui media selepas keputusan dibacakan berkata, tindakan Tian menarik balik rayuannya itu bukan menunjukkan beliau bersalah sebaliknya tindakan Ahli Parlimen Batu itu pada masa itu adalah demi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Malah katanya, Tian ke Kompleks Pulapol pada ketika itu juga bukan atas kehendaknya tetapi telah dibawa oleh pihak polis kerana menyertai perhimpunan Bersih 3.

Latheefa juga berkata, kes Tian ini juga boleh disifatkan sebagai sesuatu yang aneh dan boleh dianggap tidak bersalah yang mana beliau hanya menjadi mangsa keadaan.

“Terdapat banyak kekeliruan ketika itu kerana beratus orang ditahan dan ramai wanita serta kanak-kanak yang dikeluarkan dalam bas secara berasingan.

“Jadi, Tian Chua telah mengambil tindakan tanggungjawab untuk memastikan semua dibebaskan sebelum beliau sendiri keluar.

“Namun pihak polis mengambil tindakan ke atas beliau atas sebab berada di kawasan larangan.

Sememangnya Pulapol merupakan kawasan larangan tetapi dalam kes ini, Tian Chua tidak datang ke Pulapol secara sendiri sebaliknya beliau dibawa oleh pihak polis ke situ.

“Kita nampak ada satu tindakan aneh untuk mendakwa orang yang dibawa oleh pihak polis sendiri untuk di tahan kemudiannya untuk kesalahan kawasan larangan,” katanya.

Tian Chua disabitkan di bawah Akta Kawasan dan Tempat Perlindungan 1959 kerana  menolak perintah untuk meninggalkan Kompleks Pulapol di Jalan Semarak pada 29 April 2012, sehari selepas ditangkap semasa perhimpunan Bersih 3 di Kuala Lumpur.

November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan awalnya terhadap sabitan dan hukuman setahun penjara dan denda RM1,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 23 Januari 2014.

Mahkamah sepatutnya mendengar hujah kedua-dua belah pihak hari ini (29 September), tetapi menerima penarikan balik rayuan itu, dan mengekalkan hukuman penjara satu bulan, berkuatkuasa hari ini.

Tiada ulasan: