Rabu, 27 September 2017

Tikaman bahasa seorang Tok Guru


"Sebelum manusia mengenal ahli motivasi dan ilmu motivasi, sejak 1427 tahun yang lalu, Tuhan telah menurunkan sehimpun ayat wahyu, melebihi 6,000 ayat dan melantik para rasul dan nabi-Nya.
"Dan, keseluruhan risalah daripada ayat-ayat wahyu cukup sarat dengan ayat motivasi. Kata akar ruhnya membina keseluruhannya.

"Ia membangkitkan kesedaran lalu menjurus usaha kita untuk merindui dan memasuki syurga, sekali gus menjauhi neraka yang sifat azabnya kekal abadi.

"Apa yang dilakukan oleh para ahli motivasi sezaman ialah mengatur ayat-ayat power hasil pembacaan dan pemerhatian sebagai usaha murni bagi mengejutkan kita daripada kelalaian. 

"Mereka yang lari dari garis besar ini - bahkan cuma bijak membangkitkan semangat untuk mengaut laba dan tamakkan untung dunia - sebenarnya bukan motivator tetapi kapitalis dunia yang tidak faham sempadan hidup antara dunia yang sifatnya cukup sementara dengan akhirat yang kekal abadi.

"Beruntunglah orang yang berpilih-pilih sebelum memutus untuk menelan sebarang pil yang terserempak di sepanjang lebuh raya motivasi."

Saya memulakan nota kali ini dengan ayat-ayat sebegini apabila teringat pada suatu pagi, saya mengunjukkan sebuah manuskrip tanpa judul yang - pada waktu itu - memuatkan 372 madah.
Peristiwa ini seingat saya berlaku pada awal November 2006.

Sambil membelek dan mengutip satu dua buah butirnya dengan tekun, Allahyarham Tok Guru bertanyakan saya: "Berapa lama buat mugo (benda) ni?"

Jujur saya memberitahu: "Lapan tahun."

Kelihatan puas sambil tersenyum, Tok Guru menyambung pendek, "Allah" lalu berkata-kata....
Matan kata-katanya ketika itu ialah seperti yang saya kutip dan turunkan di perenggan pertama esei ini tadi.


Beliau menyambung lagi dengan pertanyaan: "Pah buku ni nok letak namo ggapo?"

Tanpa menunggu saya menjawab, beliau sambung lagi, bahawa ada sebuah buku lama yang beliau cukup minati tetapi sudah tak dapat dikesan lagi.

Ia membawa tajuk Tikaman Bahasa. Dari situlah saya namakan terus buku saya yang ini dengan judul Tikaman Madah.

Selesai dicetak, saya hadiahkan Tok Guru dua naskhah pada suatu pagi yang ceria dua bulan kemudiannya.

Taraf kata-kata hikmat

Apa lagi! Sampai ke hari ini pun, saya masih dapat merasai kehangatan senyuman lebar yang beliau hadiahkan buat saya pada pagi itu dengan gurauan, "Pah nok suruh ambo bayar berapo?"

Ah, selebihnya itu biarlah ia menjadi sebuah misteri untuk disimpan buat kenangan kami berdua!


Jika diteliti ayat-ayat Tok Guru yang disusun dan diguna pakai lewat zaman beliau memimpin, terdapat banyak sekali ayat mantik penuh hikmah dilontarnya.

Ini justeru pada beliau, "kisah penceritaan tentang bangun pagi minum kopi jalan kaki itu biasa."
Memunculkan kata-kata bijak demi menarik orang kepada dakwah bersandarkan ayat wahyu - ini baru luar biasa.

Lantaran itu, bertolak daripada keikhlasan, kita mudah terkesan ayat-ayat beliau yang kita rasa cukup mudah, cukup asli tetapi cukup dilihat berkudrat mengetuk hati.

Senyatanya, ayat-ayat yang beliau pakai sudah menjangkau ke taraf kata-kata hikmat. Pada kebanyakan tempat ia barangkali sudah melampaui fatwa pendeta.

Di sini, apa kata jika saya diberi izin untuk memunggah 20 sahaja kata-kata bijak, mantik tinggalan beliau yang jika dalam istilah Inggerisnya ia disebut "wise sayings, proverbs or maxims”untuk sama-sama kita nikmati?

Ada yang pendek dan ada juga yang sederhana panjangnya. Mari sama-sama kita selami.

20 kata-kata bijak

* Nyawa kita ni umpama api pelita yang pada bila-bila masa boleh padam.

* Di rumah saya tiada bilik bacaan kerana seluruh rumah saya diisytiharkan sebagai balai bacaan.

* Secantik-cantik kotak kasut pun, orang buang saja setelah kasut dibeli kerana pada akhirnya orang nakkan kasut, bukan kotak kasut. Yang masih bermain dengan kotak kasut orang panggil budak-budak.

* Barang mahal orang sayang. Duit biasanya orang tutup, simpan molek-molek dalam dompet; kadang-kadang orang zip lagi untuk jaga keselamatannya.

Orang perempuan pun serupa. Mereka daripada jenis berharga mahal. Allah sayang mereka. Sebab itu Islam minta supaya dia ditudung. Dibungkus sikit, dibalut sikit, disusut sikit supaya dia disegani dan dihormati, baru tidak senang orang pecah liur lalu dengan mudah dia diceroboh orang jahat.


* Dah tahu kita tahu kita nak langkah parit luas kenapa duduk pakai kain sempit?

* Saya tahu ada peluru tembak tupai yang lebih mahal tetapi saya beli yang murah sikit. Daripada penjimatan duit itu, dapatlah saya beli mugo lain dan buat benda kebajikan yang lain-lain, yang saya kira lagi luas manfaatnya.

* Buah kayu ni, dia kuih-muih yang datang terus dari kebun Tuhan.

* Kita dengan dunia ni, jangan jadi macam kambing yang mamah butir macang. Walaupun dah lekat di batang halkum, dia tetap tidak kehek (keluarkan semula) sebab manis. Hok manis tu hok dia sayangnya. Kita jangan mudah kena tipu dengan habuan dunialah.

* Ambo tak boleh pakai kain baju jenis kain licin sebab ambo lekas mengantuk. Mulalah ambo nak deras tidur sedangkan ambonya, banyak perkara yang nak difikir dan nak dibuat. Tu yang ambo gi kedai jahit paka kain yang keras sikit.

* Mutiara payah nak dapat; kalau dapat pun, jarang-jarang sekali. Itu pun nelayan terpaksa menyelam berpuluh batu ke dasar laut. Batu sungai mudah; nak berapa baldi?

* Kita jangan jadi macam askar Punjab masa awal dia masuk Tanah Melayu. Tak sabar, pah nak tunjuk pongoh bengkeng. Hati kata nak makan durian, kaedah tidak tahu. Dia lantun buah durian ke batang nyiur dari pagi sampai gelap.

Tak boleh buat lagu tu kita ni. Setiap benda ni, dia ada urat dia. Dia ada paksi dia, dia ada kaedah dia. Begitu jugalah nak selesai masalah apa pun. Cari punca dia. Pah, carilah silap dia di mana. Repair - tumpu perhatian di situ.

* Kita kena kenal kepada siapa kita nak serah amalan kita ni. Kita kena serah ke Tuhanlah; takkanlah kepada makhluk. Jika kita pergi ke restoran pun begitu. Kita tidak boleh bayar ko hok basuh pinggan di dapur atau kuli yang duduk belah kayu api di tepi telaga tu. Kita kena kenal dan serah diri kita dan duit kita ke tauke kedai.

* Takdir kita orang tinggi, kaki kita panjang. Nak jadikan cerita, kita tersalah beli seluar yang panjang kaki. Jadi, kita nak kerat kaki ke atau kita nak kerat kaki seluar? Buat keputusan biar molek. Kita ni kan berfikiran sihat.

* Sungguh pun kita beli tiket mahal dan naik kapal terbang, kita tidak boleh buat sesuka hati. Kita kena dengarlah jika pramugari suruh kita duduk. Pak cik duduk sini dan barang pak cik letak di atas ni. Atas kapal orang, kita tidak boleh buat ikut sedap kita. Mana boleh nak rebus air rebus ubi! Kita kena faham, kita hanyalah menumpang. Begitu jugalah kita di bumi Allah ni. Kita hanya tumpang tempat orang; mana boleh buat pandai-pandai. Ikut peraturan tuan punya dunia.

* Kita pendek, kecik; pah pakai baju kot besar, pakai kasut tapak tebal lagi, nak suruh nampak tinggi tapi jika tak ada ilmu, tak ada erti. Jika tubuh besar asal sekali pun, tak jadi apa juga jika tak ada ilmu. Nak nak, kita kurang akal – usahkan orang, ayam pun tak takut dan makhluk kerbau lembu pun tak hormat.

Kita ni, nak suruh banyak ilmu kena rajin mari mengaji. Dapat ilmu, amal. Baru timbul taqwa. Kalu dah taqwa, baru semut dalam lubang, burung atas pohon dan ikan dalam kolam pun berdoa dan naik hormat kepada kita. Kalau dan berilmu, tubuh kecil pun tak apa.

* Mengaji banyak-banyak pun biar faham. Biar tentu kita boleh kilas satu dua ke dalam kain pelikat kita tu untuk buat turun ke tanah. Biar sampai kita boleh beroyak (bercerita) kepada orang di keliling-kelalang kita, baru terpakai kerja kita ni.

Jangan mengaji punya mengaji tapi tak tahu apa. Mengaji biar sut akhirnya menjadikan kita orang yang taqwa.

* Bangsa adalah perkara fitrah dan anugerah semula jadi. Bagai tangan dan kaki yang datang melalui kelahiran. Bangsa juga serupa. Kita Melayu, kita Cina, kita Inggeris, kita Eskimo, kita Orang Asli; kita dilahirkan dalam bangsa yang semula jadi.

Ibu bapa kita Melayu, maka Melayulah kita. Jika mereka Cina, Cinalah kita. Tiada kelebihan apa-apa dengan berbangga dengan bangsa. Silap-silap ia menjadi bahan bermegah di sisi orang yang tiada ilmu.

Ini ditambah parah jika pemimpin pun memesongkan ilmu. Lepas itu, mulalah dia jadikan dasar perjuangan. Kita dijadikan berbangsa-bangsa untuk tujuan kenal-mengenal; bukan untuk dijadikan bahan benci-membenci untuk timbulkan faham perkauman.

Sebenarnya, tanpa perlu dibela dan dipertahan pun, orang Melayu tetap Melayu dan orang Cina tetap Cina, sebab benda ni anugerah. Jika terima Islam asli, tak timbul pun faham perkauman. Kita hidup baik-baik, jangan rasuah, jangan tindas, jangan buat khianat; apa salahnya?

* Nabi SAW tidak pernah seru supaya umat Islam mengukuhkan perpaduan Arab dengan laungan “Hidup Arab”. Ni, Hidup Melayu! Hidup Melayu! Angkat keris sana sini, apa nama kerja?

Jika bukan Melayu angkat simbol senjata dia dan laungkan Hidup Cina Hidup India, lagu mana? Apa salahnya, simpan keris dan lebarkan salam? Kita pakat-pakat dakwah, apa salah? Kita ni kan semua bersaudara. Semua kita dari keturunan Adam. Mak kita ialah Hawa. Susah sangatkah? Pahala dapat, perpaduan dapat. Hidup rukun damai.

* Sebelum dia jadi isteri kita, kita kena ingat baik-baik yang dia tu sebelum ini hamba Tuhan dulu. Dia terlebih dahulu lagi menjadi hak milik Tuhan sebelum dia jadi hak milik demo. Nak 'pakai' dia, 'pakai' baik-baik sebab dia ada tuan. Tuan dia nama Allah.

Ini sampai tendang dia, tampar dia, katok pukul laksana godam kucing! Eh, kucing pun orang tak buat lagu tu. Ni belasah bini sampai patah-patah. Ingat sikit, dia tu boleh mengadu kepada Allah. Bbini dua tiga, bini tak boleh silap sikit, sepak! Apa?

* Kita jadi ulama orang ni, kita kena jaga hukum betul-betul. Kena pegang al-Quran, hadis tu kuat-kuat. Jangan sedia jadi terompah kayu kita ni. Jika kita mula sedia menjadi terompah kepada seteru, sudah dah la...

Orang akan pakai kita buat basahan di kolah tu cukup-cukup. Esok, habis-habis dia guna, bila kita dah jadi terompah putus, kayu-kayu pun dah haus habis cuci, dia tinggal sajalah kita.

Allah murka kita, orang benci kita. Pah, mananya maruah kita menjadi pejuang Islam?



Daripada 20 petikan contoh kata-kata bijak yang sarat dengan falsafah, ada juga pada ketikanya Tok Guru mengadunkan kata-katanya dengan mesej-mesej polos yang relatifnya mudah untuk difahami.

Semua teks disukat mengikut konteks. Umpamanya ketika berucap pada 1981 ketika PAS dilandai tribulasi hasil perbezaan sikap, pegangan, pendekatan dan sudut pandangan di kalangan pemimpin dan ahli.

Pada ketika itu beliau dilihat cukup cermat lagi berhikmah mengatur setiap rentak dan letak kata demi menjitukan lontaran. Saya petik kata-kata beliau melalui sebuah buku yang berjudul Kemuncup Dalam Perjuangan yang pernah diterbitkan pada 1981.

Atas arahan beliau, buku ini telah saya terbitkan semula secara saling tak tumpah daripada buku asalnya yang bertulisan jawi; ditulis sendiri oleh Tok Guru pada waktu itu.


Saya petik:

“Sebesar manakah PAS itu saya tak boleh sebutkan dengan tepat, tapi nampaknya ia masih kecil lagi. Dalilnya, ia selalu bergoyang ibarat pokok yang kecil. Kalau datang angin sedikit pun ia akan bergoyang; anak burung hinggap di atasnya pun ia akan bergoyang, kalau kambing biri-biri menanduk batangnya pun ia bergerak; apatah lagi kalau lembu kerbau yang lebih besar.
 Tentulah goyangnya akan lebih hebat lagi.

"Ini menandakan pokok ini masih kecil lagi. Tapi walaupun masih kecil, ia berkemungkinan akan membesar; bertunjang dan berdahan kerana janji Allah SWT di dalam Al-Quran: “Allah berjanji bahawa al-Quran ini Kami yang menurunkannya dan Kami memberi jaminan akan menjaga sepenuhnya.

Sekiranya kitab al-Quran itu diberikan jaminan oleh Allah SWT untuk dijaga, maka PAS yang didasarkan kepada al-Quran dan hadis ini, tidak ada sebab tidak boleh dijaga oleh Allah SWT juga.

Sekiranya al-Quran diberikan jaminan oleh Allah bahawa ia akan dijaga dengan baik sehingga ke hari kiamat, maka saya yakin bahawa selagi PAS berpegang kepada al-Quran dan hadis, PAS juga akan turut kekal ke hari kiamat; sekekalnya al-Quran dan hadis, insya-Allah.
 
Tetapi sekiranya PAS menyeleweng menyatakan bahawa al-Quran menjadi dasarnya sedangkan pada amalannya ia berlainan daripada al-Quran; bermula dari peringkat cawangan sehingga ke peingkat kawasan, negeri dan seterusnya sampai ke peringkat pusat, ataupun penyelewengan itu bermula dari pusat, kemudian turun ke peringkat negeri dan seterusnya sampai ke peringkat kawasan dan cawangan; maka tidak ada sebab untuk PAS kekal.

Pas hanya boleh kekal dengan berkat dan tuah al-Quran; tetapi ia tidak akan kekal kalau hanya pada nama sahaja ia didasarkan kepada al-Quran.

Tetapi, sekiranya dasar al-Quran itu tidak diamalkan oleh orang PAS, mula dari pucuk pimpinan sampai ke peringkat paling bawah dan juga sebaliknya bermula dari peringkat bawahan sehingga ke peringkat atasan, maka tidak ada sebab mengapa PAS boleh kekal.”

Ya, akhir kata, memahami Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz adalah memahami falsafah lewat kata-katanya.



ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Tiada ulasan: