SEREMBAN: Pemimpin Barisan Nasional (BN) terutama UMNO, perlu
memperkemaskan cara berpolitik masing-masing dengan lebih kerap menjawab
pelbagai tuduhan serta mematahkan hujah dangkal pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pemerhatiannya
mendapati pemimpin BN terlalu memberi perhatian kepada tugas mentadbir
negara sehingga memberi peluang kepada pembangkang memainkan pelbagai
isu.
"Saya rasa UMNO dan BN terlalu memberi perhatian menjadi kerajaan
(mentadbir dan membangunkan negara) sehingga kita jadi tidak pandai
berpolitik.
"Pembangkang pula tak perlu mentadbir, mereka tidak peduli pembangunan
negara, sebaliknya berpolitik sepanjang masa dengan memutar belit isu
dan melemparkan pelbagai tuduhan kepada kerajaan selain membuat janji
yang sukar ditunaikan kepada rakyat" katanya.
Annuar berkata demikian ketika sidang media pada program bicara minda
dan sesi dialog sempena siri 'Jelajah Perjuangan For All' di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemimpin BN perlu menyeimbangkan
peranan mereka terutama lebih bijak berpolitik dengan kerap mengupas dan
menjawab isu yang dimainkan oleh pembangkang.
Sementara itu, Annuar berkata, tumpuan pengisian pada program dialog
malam ini adalah berkaitan amalan politik perkauman yang dibawa oleh DAP
yang jelas memecah belahkan kerharmonian kaum selama ini.
"Matlamat DAP sejak dahulu adalah sama iaitu membakar api perkauman orang Cina untuk mendapatkan sokongan mereka.
"UMNO ditubuhkan 20 tahun lebih awal daripada DAP dan tiada isu
perkauman dibangkitkan selama itu, namun apabila DAP ditubuhkan,
ketegangan kaum meletus pada 1969.
"Nyata, kewujudan DAP dan cara politik mereka menimbulkan suasana
tertentu. Mereka hasut dan takutkan orang Cina dengan pelbagai cerita,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan