Rabu, 27 September 2017

Parkir kereta Stesen LRT Pandan Jaya tidak diselenggara, duit dipungut

Manzaidi Mohd Amin
Iskandar (kanan) menunjukkan tiket caj parkir. Di sebelahnya adalah petugas parkir Stesen LRT Pandan Jaya.


KUALA LUMPUR – Mereka yang meletakkan kereta di Stesen LRT Pandan Jaya dikenakan caj RM3 sekali masuk, tetapi apa yang menyedihkan pihak pengurusan parkir tidak menyelenggara kawasan itu dengan baik.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati pemilik kenderaan yang bimbang keadaan sekeliling kawasan parkir itu penuh dengan semak samun dan sampah mengundang kehadiran haiwan berbisa serta membahayakan nyawa mereka.

Perkara itu telah diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Datuk Iskandar Abd Samad, yang kemudian datang meninjau untuk melihat keadaan tempat letak kereta di stesen berkenaan.

Menurut Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, beliau telah meninjau kawasan stesen itu pagi ini dan mendapati rumput tidak dipotong, selain kawasan itu dipenuhi semak samun dan lalang.

“Walaupun kawasan ini bukan dalam DUN Chempaka, tetapi pihak RapidKL perlu mengambil berat masalah yang melibatkan keselamatan orang awam, yang juga pengguna pengangkutan awam sistem transit aliran ringan (LRT) itu.

“Air bertakung dalam semak samun itu. Ini punca pembiakan nyamuk Aedes yang menyebabkan denggi.

“Selain itu, serangga dan binatang berbisa seperti ular boleh berselindung dalam semak samun berkenaan serta mengancam nyawa pengunjung stesen LRT ini,” katanya.
Kawasan parkir tidak diselenggara dengan baik menyebabkan rumput tumbuh meliar dan mengundang kehadiran haiwan berbisa.
Beliau menggesa RapidKL mengenakan tindakan ke atas pengurusan parkir berkenaan dan menjalankan kerja penyelenggaraan sekeliling kawasan Stesen LRT Pandan Jaya itu agar kelihatan sentiasa bersih.

Iskandar turut mencadangkan RapidKL bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi tujuan penyelenggaraan kawasan itu.

“LRT Pandan Jaya ini menjadi tumpuan orang ramai kerana ia adalah stesen yang penting bagi laluan Ampang ke Kuala Lumpur dan dapat mengelakkan kesesakan jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: