Khamis, 28 September 2017

Penyamun maut selepas bergelut dengan tuan rumah



Penyamun maut selepas bergelut dengan tuan rumah
Anggota polis berada dilokasi dimana lelaki berkenaan ditemui mati ketika cuba pecah masuk rumah penduduk awal pagi tadi.
 
 
KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut selepas bergelut dengan penghuni sebuah rumah yang telah dipecah masuk di Felda Simpang Waha awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika mengesahkan kejadian berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi di kawasan perumahan Felda berkenaan melibatkan si mati yang juga merupakan seorang penduduk tempatan berusia 30 an.

Menurutnya, dalam kejadian itu penghuni rumah telah bertindak melindungi diri dan keluarga ekoran tindakan lelaki berkenaan yang telah memecah masuk ke dalam rumahnya.

"Dalam kejadian itu, penghuni rumah berkenaan telah bergelut dengan lelaki tersebut dan si mati telah meninggal dunia. Bagaimanapun siasatan mendapati tiada sebarang kecederaan luar.

"Semakan juga mendapati si mati turut memiliki lebih lima rekod jenayah lampau. Siasatan kita pada masa ini menjurus pada kematian mengejut (SDR) dan juga Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambahnya, beliau meminta orang awam untuk memberikan masa kepada pihak polis bagi membuat siasatan lanjut kejadian tersebut.

Beliau juga meminta agar tidak ada pihak yang bertindak memanipulasikan kes berkenaan dengan ulasan dan pandangan tanpa berdasarkan fakta siasatan.

Tiada ulasan: