Khamis, 28 September 2017

Mustafa Akyol Sahkan Pakatan Harapan Bawa Fahaman Liberal ? – Dr Kamarul

 
 


September lalu saya telah menulis satu artikel mengenai penganjuran perbincangan meja bulat bertajuk “Apakah Kebebasan Berfikir Membuka Pintu Kepada Kemurtadan?” (“Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy?”) oleh IRF dan G25 di Heritage Room, Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur, pada 24 September.

Di dalam tulisan itu, saya, berdasarkan poster yang dinaikkan oleh IRF dan G25 waktu itu, nyatakan mengenai keterlibatan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM, Dr Mohd Farid Mohd Shahran, Ketua Wanita IKRAM, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, dan Pensyarah Kanan UIAM, Dr Maszlee Malik, selain Mustafa Akyol, di dalamnya.



Bagaimanapun, setelah mendengar rakaman perbincangan meja bulat ini, Dr Maszlee Malik didapati tidak hadir. Mengikut kata-kata pengerusi majlis, tempat Dr Maszlee digantikan oleh Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad. Bila Dr Dzulkefly juga gagal hadir “for a certain reason”, tempat beliau digantikan oleh pemimpin PKR, Datuk Saifuddin Abdullah.

Semalam, Pengarah JAWI, Haji Abdul Aziz Jusoh, memaklumkan bahawa, berdasarkan aduan awam (bukan oleh saya) mengenai penglibatan Mustafa Akyol dalam perbincangan meja bulat ini, JAWI telah, pada 24 September, mengarahkan beliau hadir memberikan keterangan kepada JAWI mengenai penglibatan beliau ini pada 25 September.

Bila Mustafa Akyol gagal hadir, JAWI telah mendapatkan waran tangkap daripada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi melengkapkan siasatan atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah menyebabkan beliau ditahan di KLIA pada 25 September dan dibawa ke JAWI untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan pada jam 1200 tengah hari semalam.

Saya menyokong apa-apa tindakan wajar, mengikut mana-mana peruntukan perundangan negara, ke atas Mustafa Akyol mahupun ke atas IRF dan G25 kerana, seperti saya sebut sebelum ini, Mustafa Akyol, melalui buku bertajuk “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan” dan melalui perbincangan meja bulat ini, banyak membawa idea asing.

Antara idea janggal yang cuba dibawa oleh Mustafa Akyol ke Malaysia adalah memperjuangkan kebebasan untuk umat Islam keluar daripada Islam selain memperjuangkan kebebasan untuk umat Islam melakukan dosa, keperluan untuk umat Islam menerima negara sekular serta keperluan untuk umat Islam membuat dan menerima tafsiran semula al-Qur’an.

Sehubungan itu, pemimpin PKR yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, di dalam laporan portal berita Free Malaysia Today semalam menyebut bahawa “Pakatan Harapan sangat kesal” dengan tindakan yang dikenakan ke atas Mustafa Akyol ini sambil menyebut Mustafa Akyol “tak pernah beri pandangan bertentangan Islam”.

Kenyataan Datuk Saifuddin ini diperkukuhkan lagi oleh pembelaan Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir, yang melahirkan simpati beliau kepada Mustafa Akyol sambil menyebut betapa “(beliau) rasa malu dan rasa aib tokoh yang (beliau) sayang dan baca buku penulisan dia diperlakukan sebegitu” kerana, kata beliau, “kita bukan negara komunis”.

Kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan yang secara terang-terang menyebut nama dan pendirian Pakatan Harapan, yang diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Setiausaha Agung AMANAH, mengenai isu Mustafa Akyol ini adalah bukti jelas yang mengesahkan tanggapan banyak pihak sebelum ini bahawa Pakatan Harapan adalah berfahaman liberal.

Sokongan terhadap Mustafa Akyol adalah sokongan ke atas tindakan beliau memperjuangkan kebebasan untuk umat Islam keluar daripada Islam selain memperjuangkan kebebasan untuk umat Islam melakukan dosa, keperluan untuk umat Islam menerima negara sekular serta keperluan untuk umat Islam membuat dan menerima tafsiran semula al-Qur’an.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


Tiada ulasan: