SAYA mengimbau kembali kepada doa bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor suatu ketika dahulu agar memberikan umur yang panjang kepada Tun Mahathir bagi dia melihat sendiri kerosakan yang beliau lakukan. Sehingga kini, Tun Mahathir telahpun berusia 92 tahun, satu umur yang dikira sangat panjang dengan keadaan kesihatan beliau masih kelihatan bagus. Dan alhamdulillah Tun kini bukan sahaja masih segar berdiri, malah beliau juga sekarang telah menjadi salah seorang yang aktif dalam pasukan penentang sistem yang beliau asaskan dahulu.
Jika
dilihat dari mata kemajuan, sememangnya tidak dinafikan kepada
sumbangan Tun kepada Malaysia. Namun, bukan penilaian kerosakan itu
didasarkan kepada pencapaian materi tetapi kepada pencapaian nilai-nilai
kemanusiaan melalui jalan agama sebagai seorang pemimpin umat Islam.
Betapa rosaknya sistem yang kita warisi sehinggakan rasuah,
penyelewengan sekarang berlaku di mana-mana sahaja. Ini jelas kerana
Islam tidak diletakkan beliau di tempat yang sepatutnya.
Kerana perintah Allah tidak dijalankan dengan sepatutnya, maka sistem
sekarang adalah mewarisi sistem yang rosak. Keberanian golongan bukan
Islam mencabar kedaulatan Islam adalah disebabkan kelemahan yang jelas
datangnya dari pemimpin Umno yang telah puluhan tahun memegang tampuk
pemerintahan negara tetapi apa yang diberikan kepada kekuasaan Islam,
amatlah sedikit, menghilangkan kegerunan golongan pembenci Islam kepada
kehebatan agama ini.
Kini Tun Mahathir, setelah melakukan tekanan, kerosakan kepada Islam
sehingga dilemahkan sebegitu rupa sepanjang pemerintahannya dahulu,
beliau muncul kembali ke layar politik dengan membawa janji perubahan
kepada rakyat. Tanpa beliau menyebutkan janji bagi memperkasakan Islam,
beliau kelihatan membawa agenda sekular yang sama iaitu hanya mahu
menukar tubuh badan pemerintah sahaja, bukan sistem. Lebih menarik,
tiada minat beliau mahu menggantikan Umno, tetapi hanya mahu meneruskan
legasi beliau dahulu melalui proksi beliau.
Paling jelas, beliau tetap menyerang PAS, walaupun menyatakan kononnya lawan utama beliau adalah Umno. Dengan fitnah PAS bergabung dengan Umno dan juga PAS menerima dedak daripada Umno, sehingga sekarang masih belum dapat dibuktikan, malah gambar beliau pula yang disiarkan bersama dengan pengarang Sarawak Reports. Begitulah bencinya beliau kepada apa juga agenda yang berkait dengan Islam, terutama yang dibawakan oleh PAS. Ini tidak menghairankan kerana boleh dilihat anakanda beliau yang jelas pernah terlibat menjadi pemilik kepada produk arak dan seorang lagi menjadi pejuang yang menentang undang-undang Islam sepertimana Tun, lebih-lebih lagi yang melibatkan hak wanita, tanpa rasa sesal menolak syariat.
Di kala mata rakyat memandang serius kepada beliau kerana isu
pembunuhan rakyat Memali dan Suruhanjaya Diraja menyiasat kerugian Bank
Negara melaburkan wang rakyat Malaysia lebih puluhan billion dalam
urusniaga tukaran wang asing pada awal 90-an yang dibangkitkan kembali
ketika ini, beliau dengan tenang menepis segala dakwaan itu dengan
mengalihkannya kepada isu kafir mengkafir yang didakwa beliau kononnya
dicipta PAS. Kemahiran membodohkan rakyat masih terserlah dalam gaya
berpolitik Tun.
Ternyata produk rosak Umno ini, masih tegar mencari-cari ruang untuk
membunuh PAS sedang dalam masa yang sama, rakyat sudah menyedari
permainan beliau dan semakin muak dengan parti-parti yang menipu.
Kehadiran Tun juga tidaklah menguatkan gabungan pembangkang yang
walaupun mereka bersungguh-sungguh mendakwa semakin kukuh, hakikatnya
semakin ramai yang keluar dari parti kalaupun tidak bercakaran sesama
sendiri. Ini adalah bahana kesilapan mereka sendiri yang begitu
percayakan Tun, ibarat berangan-angan telur tembelang boleh menjadi
telur emas.
PAS begitu mahir dengan tipu daya Tun, masih gagah berdiri tanpa
kekacauan baik di dalam mahupun di luar kerana menolak sebarang
kerjasama sama ada dengan Tun, Umno, DAP, PKR mahupun juga pengkhianat.
Sebaliknya PAS dengan Gagasan Sejahtera, terus gagah berjalan ke medan
tempur PRU dengan penuh istiqamah membawa panji-panji Islam bagi
menjadikan tawaran kepada kehidupan rakyat yang penuh dengan keadilan di
bawah syariat yang telah ditetapkan Allah. Dan tidak lama lagi, bagi
membuktikan bahawa PAS sentiasa istiqamah di jalan Allah tanpa rasa
gerun dengan kekalahan ataupun apa jua rintangan, di Pantai Tok Jembal,
Kuala Nerus, bakal berhimpun kira-kira 200,000 orang ahli dan penyokong
PAS di situ bagi menzahirkan kesungguhan untuk menawan Terengganu.
Tiada keperluan PAS untuk mengambil tahu berkenaan Tun yang sudah
diketahui rakyat, yang beliau adalah keluaran Umno yang buruk. Umno pula
mewarisi segala kebejatan yang dilakukan bukan sahaja oleh Tun, tetapi
juga pembesar-pembesar mereka yang lain. Mereka semua sama sahaja,
bezanya siapa yang paling banyak membuat kerosakan. Mereka menjadi
kumpulan yang rosak dan merosakkan. PAS akan pasti menjadi penyelamat
kepada kerosakan ini bagi rakyat dan negara Malaysia ini. PAS istiqamah
menuju kemenangan. Wallahua’lam.
*Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan