Rabu, 27 September 2017

SPRM saring nama calon PRU14, Pas berbeza pendapat

Manzaidi Mohd Amin
Iskandar Abd Samad


SHAH ALAM – Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan parti politik menghantar senarai bakal calon pilihan raya kepada pihaknya, organisasi bebas itu dikatakan cuba melibatkan diri dalam urusan politik.

Sepatutnya menurut Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd Samad, SPRM menunjukkan organisasi itu kekal bebas, bukan perlu masuk campur urusan parti politik.

Kata beliau, apabila terlibat dalam politik, maka keyakinan rakyat terhadap mereka akan terhakis.

“Walaupun yang menentukan calon masih parti politik, tetapi SPRM berupaya mempengaruhi keputusan dengan ulasan mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPR, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang dilaporkan berkata, pihaknya mempelawa parti politik yang bercadang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya menyerahkan senarai nama bakal calon kepada suruhanjaya itu untuk disaring.

Kata beliau, walaupun tiada paksaan dan perundangan mengenai perkara itu, SPRM sangat terbuka dan menggalakkan parti politik yang ingin menyertai PRU14 akan datang menyaring calon mereka dari sudut rasuah dan salahguna kuasa.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, SPRM sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha untuk mencegah rasuah, bukan menentukan siapa calon.

“Terdapat banyak kes rasuah yang belum selesai. Beri tumpuan kepada kes tersebut. Biar parti politik membuat keputusan dan menanggung apa sahaja kesan dari keputusan tersebut,” ujar beliau.

Bagaimanapun, kenyataannya itu berbeza dengan pandangan Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hasan yang menyifatkan langkah SPRM itu sebagai usaha wajar disokong dalam membentuk nilai integriti wakil rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh, menyambut baik saranan dan usaha SPRM yang terbuka menerima mana-mana calon dari parti politik untuk menyaring bakal calon bagi PRU 14. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: