Jumaat, 29 September 2017

Hartawan Pulau Pinang cadang bina laluan kereta api ke Thailand

 
Sekiranya menjadi kenyataan, ia boleh memendekkan perjalanan kargo dari 9 hari kepada 9 jam.


penang-songkla

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat Malaysia mengemukakan cadangan untuk membina landasan kereta api yang menghubungkan pelabuhan Pulau Pinang dan Songkhla, kata Duta Besar Thailand ke Malaysia Damrong Kraikruan.

Wakil kerajaan Thailand dan Malaysia dijangka bertemu dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk membincangkan perkara tersebut, katanya, sambil menambah bahawa cadangan itu dikemukakan oleh sebuah syarikat yang dikatakan ada kaitan dengan seorang hartawan terkenal Malaysia yang mempunyai kaitan dengan Pelabuhan Pulau Pinang .

Idea ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pelabuhan kerana ia boleh berfungsi sebagai pelabuhan transit sebelum barang dihantar ke destinasi antarabangsa, katanya kepada taklimat media mengenai hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Thailand.

Cadangan berkenaan tidak pernah didengar sebelum ini berbanding rancangan untuk membina terusan Kra yang bernilai berbilion dolar, tetapi tidak dilaksanakan disebabkan oleh kos dan isu alam sekitar.

Berikutan timbul kembali rancangan untuk membina terusan itu oleh Thailand, jika ia menjadi kenyataan, terusan berkenaan boleh memberi cabaran kepada pelabuhan di sepanjang Selat Melaka seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, serta Pelabuhan Singapura.

Landasan kereta api Pulau Pinang-Songkhla yang dicadangkan itu dijangka memendekkan masa transit penghantaran barangan kepada 9 jam berbanding sembilan hari melalui Selat Melaka.

Mengulas mengenai hubungan Malaysia-Thailand, Damrong berkata Thailand telah terlepas pandang oleh ahli perniagaan Malaysia meskipun peluang dan infrastrukturnya yang luas.

“Sebagai contoh, Thailand mempunyai akses jalan ke China, dan negara-negara Indo-China lain, yang akan memberi manfaat kepada perniagaan Malaysia,” katanya.

Malaysia adalah rakan dagang keenam Thailand dan jumlah dagangan antara kedua-dua negara berjumlah AS$20 bilion pada 2016.

Tiada ulasan: