Khamis, 28 September 2017

Adakah PH perjuang fahaman Islam liberal?

Oleh Syed Ahmad Fadhli 



MENJELANG PRU14 yang bakal tiba tidak lama lagi, persoalan utama yang patut diajukan kepada Pakatan Harapan (PH) ialah apakah acuan, ideologi dan sistem yang PH mahu guna pakai sekiranya memerintah Malaysia?

Hal ini amat penting kerana kita dapat lihat sendiri bagaimana DAP begitu dominan dalam menentukan halatuju arah perjuangan PH.

Contoh terbaru ialah dalam isu Better Beer Festival.

DAP begitu lantang menentang keputusan pihak berkuasa iaitu DBKL dan PDRM yang melarang penganjuran pesta arak diadakan di ibukota KL.

Kita juga perlu meneliti siapakah pendokong utama yang berada di hadapan mahupun yang berada di sebalik tabir PH? Kelihatannya, PH lebih cenderung kepada ideologi liberalisme dan sekularisme. Mereka begitu gigih berjuang atas nama kebebasan dan hak asasi manusia mengikut tafsiran Barat bukannya acuan Malaysia.

Semestinya, ini bercanggah dengan ajaran Islam yang merupakan agama Persekutuan sepertimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Malaysia.

Pada masa sama, kita juga dapat melihat kebangkitan suara kelompok Islam Liberal yang sering diberikan liputan meluas oleh portal media pro PH seperti Malaysiakini, Free Malaysia Today, The Malaymail Online dan The Malaysian Insight.

Kenyataan individu seperti Zaid Ibrahim, Siti Kassim, Dato' Noor Farida Ariffin, Dato' Dr Ahmad Farouk Musa, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, Farouk Peru, dan Marina Mahathir sering diberikan liputan media tersebut.

Portal media ini mengangkat suara kelompok minoriti seolah-olah mereka mewakili pandangan majoriti ummat Islam yang sememangnya menentang fahaman Islam Liberal.

Siapakah tuan empunya portal media tersebut yang berkuasa dalam menentukan 'agenda setting' untuk diterapkan dalam minda masyarakat awam?

Siapakah penyumbang dana kepada portal media itu?

Jikalau kita mempunyai jawapan kepada persoalan tersebut pasti kita tidak terkejut apabila melihat berita-berita yang disiarkan dalam portal itu kebiasaannya bersifat negatif, memburukkan Islam dan berunsur Islamophobia.

Apa jua yang berimej Islam, institusi Islam, jenama Islam pasti akan menjadi sasaran serangan mereka. PAS merupakan subjek utama yang sering menjadi mangsa serangan media sebegini.
Pihak tertentu sering menuduh PAS memperalatkan Islam untuk kepentingan politik sedangkan mereka terlupa bahawa kumpulan mereka juga ada yang menggunakan nama Islam.

Contohnya, Sister in Islam (SIS) dan Islamic Renaissance Front (IRF).

Adakah mereka menyangka kita tidak tahu apakah agenda perjuangan SIS dan IRF ini?

Terbaru, kelompok Islam Liberal di Malaysia telah menubuhkan gabungan individu bergelar G25 yang melibatkan tokoh-tokoh Muslim yang pernah berkhidmat dengan Kerajaan dalam pelbagai jawatan di sektor awam.

Mungkin ada yang tidak tahu bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 telah memutuskan pemikiran Islam Liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Gerakan pemikiran Islam Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng daripada aspek akidah dan syariah.

Antara penyelewengan dalam aspek akidah ialah mereka berpegang kepada;
- Konsep Pluralisme agama
- Akal Manusia Adalah Wahyu
- Meragui Ketulenan Al-Quran

Penyelewengan dalam aspek Syariah pula ialah:
- Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith
- Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat
- Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Mereka juga mengkritik disiplin ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima.

Mereka juga menolak penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie kerana mereka mahu merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

Kelompok Islam Liberal ini bergerak secara terancang. Mereka sering mengadakan program berbentuk wacana dan diskusi yang membincangkan tajuk berkenaan Islam tetapi mengikut acuan mereka.

Pada Oktober 2014, IRF dan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) pernah cuba membawa masuk tokoh Islam Liberal Indonesia, Dr Ulil Abshar Abdalla namun dibantah keras oleh JAKIM.

Baru-baru ini, mereka menjemput pula Dr Mun’im Sirry dan Mustafa Akyol yang cuba menyebarkan fahaman Islam Liberal yang negara ini.

Tatkala pihak Kerajaan bertindak, pemimpin Pakatan Harapan lah antara yang paling lantang membela individu yang diimport dari luar negara untuk menyesatkan akidah ummat Islam di negara kita.

IRF yang bergiat aktif menjadi penganjur program sebegini menerima dana yang disumbangkan oleh National Endowment for Democracy (NED) yang berpusat di Amerika Syarikat.

Antara penerima lain dana NED di Malaysia ialah portal Malaysiakini, Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS), Projek Dialog, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), dan Merdeka Centre.

Sedar atau tidak, ummat Islam sedang berdepan dengan cabaran dalaman dan luaran secara serentak. Kita jangan lupa berkenaan tuntutan yang diperjuangkan oleh COMANGO (Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process) pada tahun 2013 dulu. Gabungan 54 NGO telah menghantar laporan kepada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menekan Malaysia menerima tuntutan mereka.

Atas nama kebebasan hak asasi, COMANGO menuntut:
- hak kebebasan beragama (murtad)
- hak LGBT
- menghapuskan hak istimewa orang Melayu
- menghapuskan kesalahan jenayah Syariah

Walaupun COMANGO sudahpun diharamkan oleh Kerajaan tetapi perjuangan mereka masih belum terhenti di situ. Kita dapat lihat dalam siri himpunan Bersih (selepas PAS tidak sertai), kelompok pejuang LGBT dan Seksualiti Merdeka mula muncul dengan berani menuntut hak mereka. Suara COMANGO seperti hak untuk murtad juga diperjuangkan oleh DAP di Parlimen.

Apabila PAS mengemukakan RUU Persendirian bagi meminda Akta 355, kelompok Islam Liberal ini bersatu hati dengan PH menentang usaha memperkasakan Mahkamah Syariah. DAP lebih berani bersuara kerana wujudnya pemimpin Muslim PKR dan PAN yang setia menjaja modal istilah Maqasid Syariah, Islam ramah tamah, progresif, moderate sebagai alasan untuk menyekat usaha memartabatkan Islam melalui sistem perundangan.

Belumpun PH mendapat kuasa, mereka dah berusaha mencegah apatah lagi mahu menyokong.
Adakah kita masih boleh mengharap untuk mereka melaksanakan usaha memartabatkan Islam seandainya mendapat kuasa kelak? Tidaklah mustahil suatu hari nanti, atas nama hak dan kebebasan, pesta arak akan diadakan bagi meraikan kemenangan PH ke mercu Putrajaya?

*Syed Ahmad Fadhli,  Pegawai Pusat Penyelidikan PAS 
 
 

Tiada ulasan: