Jumaat, 29 September 2017

KEADILAN Sarawak kesal penghulu naik pesawat tentera

KEADILAN DAILY

Baru Bian


KEADILAN Sarawak membantah tindakan Putrajaya menggunakan pesawat tentera untuk mengangkut penghulu dan ketua kampung di negeri itu untuk ke ibu negara bagi menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas beberapa gambar penerbangan itu yang disebarkan di media sosial, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Baru Bian berkata beliau “terkejut” dengan jenis pengangkutan yang digunakan.

“Saya benar-benar kasihan penghulu terpaksa diangkut sedemikian, pesawat tentera mengambil masa beberapa jam untuk tiba di Kuala Lumpur dan kerusinya tidak selesa.

“Jika benar bahawa pesawat tentera digunakan, ini adalah penyalahgunaan kuasa.

“Kamu tidak boleh menggunakan peralatan tentera untuk kepentingan politik… ini tindakan politik untuk mempengaruhi ketua-ketua kampung untuk mengundi BN, dan mereka sendiri dipergunakan untuk memastikan rakyat Sarawak memilih BN,” katanya, memetik laporan Malaysiakini.

Bian membuat kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada beberapa gambar orang awam menaiki pesawat yang kelihatan seperti Airbus A400M Atlas tersebar di media sosial sejak semalam.

Gambar tersebut dikongsi Naib Ketua Wanita KEADILAN dari Sarawak, Voon Shiak Ni menerusi akaun Facebook peribadi beliau.

Empat keping gambar tersebut antara lain memaparkan sekumpulan lelaki sedang memasuki perut kapal terbang dan kemudian duduk di kerusi masing-masing dengan bagasi mereka dilonggokkan di kawasan tengah perut pesawat.

Difahamkan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai empat pesawat sedemikian.

Tiada ulasan: