Khamis, 28 September 2017

SPRM tetap tolak cadangan penubuhan JITN

Wartawan MalaysiaGazette
Dzulkifli Ahmad


PULAU PINANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) seperti disarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan.

Ketua Pesuruhajayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, penubuhan jabatan baharu itu boleh mengganggu kebebasan SPRM dalam menjalankan kerja-kerja membasmi rasuah serta salah guna kuasa.

Malah, menurut beliau, penubuhan JITN juga tidak selari dengan polisi kerajaan dan rakyat yang mahu melihat SPRM menjalankan tugas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Dalam masa sama, beliau bimbang wujud persoalan seolah-olah SPRM akan `dikawal’ dalam melaksanakan tugas menerusi penubuhan JITN tersebut.

“Dalam keadaan bajet untuk beberapa kementerian dipotong, mengapa perlu ditubuhkan jabatan baharu yang peranannya boleh dimainkan oleh agensi sedia ada, bagi saya ini satu pembaziran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas penubuhan SPRM peringkat Pulau Pinang yang dirasmikan Yang Di Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Balik Pulau, di sini hari ini.

Paul Low sebelum ini mencadangkan penubuhan JITN sebagai salah satu usaha menerajui transformasi perubahan bagi membina kapasiti institusi terutama dalam kalangan penjawat awam.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, Paul Low sepatutnya mencadangkan tambahan peruntukan untuk agensi dan jabatan kerajaan sedia ada untuk mengukuhkan lagi peranan dalam melaksanakan tugas.

Katanya, antara yang perlu dilihat adalah skim perkhidmatan awam termasuk gaji kepada penjawat awam terutama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kebajikan pegawainya.

“Malah kami di SPRM sendiri berdepan masalah kekurangan aset untuk melaksanakan tugas dan sepatutnya bajet yang ada disalurkan bagi mengatasi isu-isu seperti ini,” katanya.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: