Khamis, 28 September 2017

PAS tolak pelawaan SPRM saring senarai calon PRU14 - Tuan Ibrahim

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menolak pelawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyaring senarai nama calon yang bakal mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiada keperluan untuk PAS berbuat demikian malah menyifatkan senarai nama calon adalah perkara sulit.
 
"Ia tidak menjadi satu keperluan dan SPRM pun sebenarnya tidak mencampuri urusan politik.
 
"Yang keduanya soal calon ini perkara yang sulit, tak mungkin parti-parti politik menyerahkan senarai calon kepada SPRM," katanya kepada Antarapos.
 
Selain itu beliau juga menegaskan saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa itu tidak akan menjamin seseorang calon itu tidak terlibat dengan kegiatan berkenaan pada masa hadapan.
 
"Soal dia terlibat atau tidak terlibat (rasuah) bukan berlaku sebelum jadi calon, kadang-kadang rasuah ini berlaku selepas jadi calon kemudian menang dan pegang jawatan.
 
"Jadi tak ada makna kalau serah senarai nama, penyerahan itu tidak akan membersihkan seseorang itu daripada terlibat dengan rasuah," katanya.
 
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang menyatakan hanya Barisan Nasional (BN) sudah menyerahkan senarai nama cadangan calon untuk saringan bagi memastikan individu yang bakal diturunkan parti itu pada PRU-14 bebas rasuah.
 
Dzulkifli dilaporkan berkata walaupun tiada keperluan berbuat demikian, usaha BN itu langkah terbaik bagi memastikan calon disenaraikan tidak terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
 
Majlis Syura Ulama PAS berperanan penting
 
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yakin bakal calon PAS pada PRU14 nanti bebas rasuah dan salah guna kuasa kerana Majlis Syura Ulama memainkan peranan penting dalam membuat saringan tersebut.
 
"Yang keempat dalam konteks PAS kita ada Majlis Syura yang mana ia bukan sahaja melihat aspek-aspek rasuah tapi termasuk perkara-perkara yang lain seperti kelayakan-kelayakan sebab soal calon PAS ia banyak tapisan.
 
"Jadi tapisan-tapisan dalam PAS ini sebenarnya kita yakin bahawa calon-calon PAS ini ialah calon yang dari segi syaraknya layak menjadi calon dan tiada kes yang melibatkan hilang kemampuan atau terjebak dengan jenayah, rasuah, penyelewangan dan sebagainya," katanya.
 
Beliau turut memperlekehkan cadangan SPRM itu denga mengatakan ia ditujukan kepada parti pemerintah dan bukan pembangkang.
 
"Mungkin yang dimaksudkan itu dalam konteks Umno sebenarnya, bagi parti-parti pembangkang tiada keperluan," katanya.
 
Ujar Tuan Ibrahim lagi, PAS memandang berat soal kelayakan calon parti itu dan Majlis Syura Ulama meletakkan piawaian dan syarat yang ketat dalam pemilihan calon.
 
"Setiap calon yang dicadangkan oleh parti sama ada di peringkat cawangan, kawasan dan negeri akan di hantar ke Majlis Syura.
 
"Jawatankuasa Majlis Syura ini akan meneliti, membuat tapisan, pemantauan dan kemudian kita akan panggil pihak berkenaan untuk semak latar belakang calon," katanya.
 
Justeru beliau tidak bimbang dengan calon-calon yang bakal bertanding mewakili PAS pada PRU14 kerana mana-mana calon yang layak diiktiraf Majlis Syura Ulama.
 
"Jadi kita teliti termasuk soal-soal amalan peribadi dia seperti kehidupannya dan keluarga, ini antara faktor.
 
"Sebagai contoh kalau isteri tak tutup aurat dalam PAS dia dah tak layak jadi calon, kalau calon itu tak sembahyagng tak layak juga dan kalau terlibat dengan judi juga tak layak jadi calon dan kalau seseorang itu melakukan dosa-dosa besar dalam PAS dia tak layak jadi calon," katanya.
 
 

Tiada ulasan: