Jumaat, 29 September 2017

Sultan Selangor lancar tiga klinik wakaf bergerak


 
Sultan Selangor lancar tiga klinik wakaf bergerak


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan melancarkan tiga klinik bergerak Wakaf Selangor Muamalat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Klinik bergerak itu adalah hasil kerjasama Wakaf Selangor Muamalat yang ditubuhkan atas usaha sama antara Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS)
dengan hospital terpilih.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata dua daripada kinik bergerak itu adalah dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Damansara dan KPJ Perdana, Kota Bharu, Kelantan, manakala sebuah lagi adalah dengan kerjasama Hospital Pakar Antarabangsa Beacon, Petaling Jaya.

Beliau berkata melalui kolaborasi ini, Wakaf Selangor Muamalat menyediakan kenderaan yang diubah suai menjadi klinik bergerak manakala pihak hospital menyediakan petugas dan ubat-ubatan.

Setiap klinik beroperasi mengikut lokasi yang telah ditetapkan dan sesekali beroperasi secara ‘ad-hoc’. Antara rawatan yang ditawarkan ialah pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, pemeriksaan penglihatan, pemeriksaan fizikal dan khidmat konsultasi.

Sehingga hari ini, klinik ini telah beroperasi di beberapa buah masjid, pangsapuri, depoh tahanan dan pusat khidmat masyarakat di beberapa daerah di Selangor. Ia juga pernah memberi rawatan kesihatan kepada mangsa banjir di Gua Musang, Kelantan pada penghujung 2014 dan awal 2015, katanya ketika ditemui selepas pelancaran itu.

Menurut Abdul Rahman sehingga kini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM8.8 juta dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Wakaf Selangor Muamalat merupakan satu program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang dilancarkan pada 27 Sept 2012, bertujuan memberi kemudahan kepada pelanggan bank serta orang awam untuk berwakaf dan sumbangan wakaf akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan.

Selain itu, dana juga disalurkan ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf.

Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul serta menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan PWS, dan penyumbang dana pula layak mendapat potongan cukai tujuh peratus daripada pendapatan agregat untuk individu serta 10 peratus bagi korporat.

PWS pula merupakan badan yang ditubuhkan atas titah perintah Sultan Selangor dan antara fungsi perbadanan ini ialah merancang, melaksana dan membangun pelaksanaan harta wakaf Selangor.


Tiada ulasan: