Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib
yang kini kembali ke pangkuan Umno tidak mampu mempengaruhi ADUN PKR dan
PAS seperti yang digembar-gemburkan, dalam menjatuhkan kerajaan yang
sedia ada, tegas Exco Selangor Datuk Iskandar Abd Samad.
Malah katanya, tidak ada gunanya menumbangkan kerajaan sedia ada yang
kini menjalankan perkhidmatan dengan baik kepada rakyat.
"Kita pun dengar ada banyak khabar angin. Media menelefon saya
kononnya bahawa kerajaan akan jatuh dan sebagainya. Saya tak nampak itu
akan berlaku. Buat apa kita nak jatuhkan kerajaan. Kerajaan sekarang
berfungsi dengan baik, khidmat dengan baik.
"Jadi tidak masuk akallah bahawa beliau akan menarik ADUN di Selangor,
termasuk PAS. Kalau kita menyertai jadi pembangkang buat apa," katanya
kepada pemberita selepas Majlis Dialog Mesra Media di Hotel Carlton Shah
Alam, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian sekaligus menafikan laporan lapan ADUN PKR
bersama 13 ADUN PAS berura-ura keluar daripada parti untuk menumbangkan
kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu.
Sebuah portal berita hari ini memetik sumber sebagai mendakwa lapan
ADUN PKR semalam sepatutnya keluar parti untuk menjatuhkan kerajaan
negeri pimpinan PKR.
Sebaliknya, hanya Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang keluar PKR untuk menyertai Umno.
Mengulas tindakan Muhammad yang kembali berjuang semula bersama Umno,
Iskandar berkata kemungkinan bekas naib presiden Umno itu 'merajuk'.
"Kita sebenarnya dah lupa banyak dah tentang Tan Sri Muhammad Taib
ini. Dia muncul kembali lah. Maknanya kira, saya rasa nama dia dah lama
dah. Sejak ada Pakatan Harapan. Dia ada dalam PKR pun tiada jawatan apa
pun. Dalam PH pun dia tiada jawatan. Mungkin sebab itu dia 'merajuk'
pergi balik kepada Umno.
"Saya tak fikir dia akan beri impak apa apa kepada negeri Selangor.
Kita berada di era yang berbeza dah sekarang. Sebab itu kita dah ada
empat dah menteri besar selepas dia. Benda itu adalah benda yang lama
lah," ujarnya.
Semalam, Pengerusi Umno-Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak
menerusi sidang media tergempar mengumumkan Muhammad kembali menyertai
Umno kerana kecewa PKR tidak mementingkan agenda perjuangan Melayu
mahupun Islam.
Kembalinya Muhammad ke Umno juga dilihat sebagai percaturan penting
Umno-BN dalam memperkuatkan kempen sebagai usaha menawan semula Selangor
daripada pembangkang yang dipimpin oleh PKR sejak 2008.
Muhammad bersama Umno dan BN sejak 1964, sebelum menyertai PAS pada
April 2013 dan melompat ke PKR pada September 2015 dengan harapan supaya
sebuah kerajaan alternatif dapat ditubuhkan.
Muhammad yang lebih dikenali sebagai Mat Taib pernah dilantik sebagai
menteri kemajuan luar bandar dan wilayah pada 2009 serta menteri besar
Selangor dari 1986 hingga 1997.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan