Oleh Shuhaniza Said
PUTRAJAYA: Tindakan Anina Saadudin yang mengisytiharkan keluar daripada
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelmarin adalah disebabkan
masalah peribadi dan tiada kaitan dengan kepimpinan parti.
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan, pemimpin wanita itu
pernah berjumpa dengan beliau beberapa bulan lalu dan menyatakan hasrat
untuk 'berundur' ekoran menghadapi 'masalah yang begitu banyak'.
"Dia kata dia hadapi masalah begitu banyak. Tak ada duit, tak ada
kerja, (tapi) tiada dia sebut mengenai sikap saya atau Tun atau
mana-mana pemimpin kerana walaupun beliau tak lagi Ketua Srikandi,
(tapi) dia masih duduk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
"Tapi malangnya untuk beberapa bulan kita bermesyuarat, beliau tak
pernah hadir, dalam program parti pun dia tak hadir. Jadi inilah
keputusan yang beliau buat dan tiada kaitan dengan kepimpinan. Dia ada
masalah dia dan peribadi dia," kata beliau ketika ditemui pemberita di
lobi Istana Kehakiman di sini sebentar tadi.
Muhyiddin terdahulu membuat kejutan apabila hadir di Istana Kehakiman
bagi mendengar keterangan Tun Dr Mahathir Mohamad pada prosiding
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang
asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an.
Anina pada Sabtu lalu mengumumkan keluar daripada PPBM, parti yang
diasaskannya bersama beberapa bekas pemimpin Umno yang diterajui Dr
Mahathir.
Beliau membuat keputusan nekad tersebut selepas dikatakan sudah tidak
lagi tahan dengan layanan buruk yang diterima ketika berada di dalam
parti tersebut.
Ini termasuk cara “kejam” beliau dipecat daripada jawatan ketua
srikandi PPBM, kemudian digugurkan sebagai ahli MPT dengan
“menendangnya” daripada kumpulan WhatsApp MPT PPBM, selain tidak
mendapat jemputan rasmi ke sambutan ulang tahun pertama parti itu.
Anina antara lain turut mengkritik kepimpinan parti yang tidak
memberikan hak kepada ahli untuk bersuara dan mendakwa parti itu kini
telah tersasar dari perjuangan asal ditubuhkan sejak setahun lalu.
Turut mengikut jejak langkah Anina adalah Datuk Hamidah Osman yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan