Oleh Shuhaniza Said
PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu
bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai kerugian bernilai RM30 bilion
yang dialami oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan urus niaga mata
wang asing.
Beliau merujuk kepada kenyataan saksi ke-14 iaitu bekas Ketua
Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Clifford Herbert yang mendakwa beliau
sebagai berkata "kadang-kadang kita untung, kadang-kadang kita rugi"
apabila diberitahu mengenai kerugian urus niaga bank pusat itu.
"Beliau mengatakan bahawa beliau berama Datuk Seri Anwar Ibrahim (saksi
ke-21) ada berjumpa dengan saya di pejabat Perdana Menteri pada lewat
1993.
"Menurutnya lagi dalam keterangannya, mereka berdua telah melaporkan
kepada saya tentang kerugian BNM sebanyak 30 bilion. Beliau juga telah
menambah bahawa saya telah mengatakan 'sometimes we make profit and
sometimes we make losses'.
"Pertama sekali saya mengatakan bahawa kehadiran saksi ke-14 dan saksi
ke-21 di pejabat saya pada lewat 1993, adalah beberapa bulan selepas
pembentangan laporan kewangan tahunan BNM 1992 di parlimen pada April
1993.
"Oleh yang demikian apa-apa maklumat berkaitan dengan BNM itu tidak
dimaklumkan kepada saya sebelum laporan kewangan tahunan BNM 1992 itu
telah diaudit, mahupun sebelum ianya dibentangkan di Parlimen pada April
1993," katanya ketika memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) hari
ini.
Dr Mahathir adalah saksi ke-24 pada prosideng hari ke-7 hari ini.
Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, dalam perjumpaannya bersama
dua individu tersebut juga, beliau dimaklumkan secara lisan mengenai
kerugian BNM tetapi mendakwa 'tidak ingat angka RM30 bilion disebut'.
"Apa yang pasti, jika saya berkata demikian (kadang-kadang kita untung,
kadang-kadang kita rugi) ini meyakinkan saya bahawa kerugian RM30
bilion itu tidak disebutkan kepada saya.
"Jika itu disebut, mustahil bagi saya berkata demikian," katanya lagi.
Dalam pada itu beliau mengakui pernah dijemput oleh Gabenor BNM ketika
itu, Tan Sri Jaffar Hussein ke bilik urus niaga (trading room) forex.
Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, beliau pergi ke bilik itu sekali sahaja dalam tempoh pekhidmatannya sebagai Perdana Menteri.
"Dalam ingatan saya, pada lawatan itu saya cuma berada di sana untuk
tempoh masa lebih kurang setengah jam sahaja. Tujuan saya hadir disitu
adalah untuk memenuhi hasrat dan jemputan Allahyarham Tan Sri Jaffar
semata-mata," katanya lagi.
Ujarnya, Jaffar memaklumkannya secara lisan bahawa BNM dapat
mengukuhkan keadaan rizab negara dan mata wang ringgit melalui urus
niaga mata wang asing pada ketika itu.
Tambah Dr Mahathir keputusan Jaffar supaya negara aktif dalam perdagangan forex, tidak dibuat dengan pengetahuannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan