Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Empat
parti politik – DAP, PPBM, PKR dan Amanah – berlagak sebagai sebuah
entiti politik berpadu seperti Umno-BN demi menumbangkan perikatan
politik yang sudah dijalin sejak enam puluh tahun lalu itu. Bagaimanapun
lakonan itu tidak jujur.
Mendaftarkan
Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah parti politik hanya pementasan
sandiwara politik yang menakutkan dan boleh menghunjamkan negara ke
lembah kehinaan kerana cuba memutarbelit keluhuran sistem demokrasi demi
mencapai matlamat politik.
Pertama, PH menghadapi krisis saling tidak mempercayai di antara
anggota mereka. Contoh paling jelas ialah apabila PH mengambil pendirian
tidak mahu PAS menjadi kerabatnya, PKR bertindak sebaliknya.
Kedua, PH juga mempamerkan nilai politik yang buruk dalam percubaan
meniru perpaduan Umno-BN kerana ia lebih cenderung menebarkan jaring
propagandanya yang berpaksikan putar belit fakta dan fitnah.
Justeru, serahkan pada pemimpin-pemimpin PH untuk memberi intepretasi
apa jua gerak kerja kerajaan Umno-BN dan mereka akan mampu memberi
tafsiran politik menggiurkan untuk menyemarakkan kebencian terhadap
kerajaan.
Tidak kira sama ada pengamatan PH itu bersandarkan fakta atau emosi dan
mungkin juga tipu daya, yang penting tidak mungkin bacaan politik
mereka akan memuji apatah lagi memihak pada kerajaan. Itu hakikat.
Misalnya,
dalam isu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika
Syarikat minggu lalu berikutan jemputan presidennya Donald Trump. PH
cuba meremehkannya dengan mengatakan pertemuan itu berlangsung tidak
sampai enam minit.
Ini cuba menggambarkan bahawa Najib sebenarnya tidak dipandang tinggi
oleh Trump. Malah gelagat Trump berpeluk tubuh mendengar ucapan Najib
ditafsirkan sebagai tindakan angkuh dan memandang rendah si pembicara.
Ada yang cuba menyamakan tindakan bekas Pengarah Urusan Tabung Kewangan
Antarabangsa (IMF), Michel Camdessus ketika menyaksikan Presiden
Suharto menandantangani perjanjian pinjaman menyelamatkan ekonomi
republik itu pada 1998.
Pentafsiran PH itu memang tidak berniat baik. Ia seolah-olah memberi
gambaran bahawa Najib perlu merendah diri pada “tuannya” dalam episod
berkenaan. Ini dihias pula dengan gambar photoshop di mana Najib mencium
tangan Trump tanda akur ketuanan Amerika.
Walhal gambar itu disunting daripada gambar Najib tunduk mencium tangan
ibundanya, Toh Puan Rahah Noh. Sesungguhnya ini adalah perbuatan yang
jahat, kejam dan jelek. Ini mentaliti PH.
Bagaimanapun kecenderungan PH tidur sebantal dan melayan mimpi politik
yang berbeza ini sering membuat pengundi semakin menjauh daripada
perjuangannya. Diakui kempen mereka mendapat sambutan tetapi hanya
sebagai sesi penglipur lara politik sahaja.
Natijah
gejala ketidaksefahaman ini dapat dilihat pada episod persediaan
menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 apabila Anwar Ibrahim, Ketua Umum PH
dan juga PKR mahu rundingan dengan PAS diteruskan. Alasannya mahu
mengelak pertandingan tiga penjuru.
Sebelum ini PH menentukan strategi teras PRU14 ialah mengelakkan
pertandingan tiga penjuru. PH mahu bersaing dengan BN sahaja. Jika ada
parti ketiga, ia akan memecah undi di sesuatu kawasan berkenaan.
Demikian alasan Anwar mahu PAS dirundingi.
Pemikiran Anwar disanggah bukan sahaja parti kerabat PH tetapi ia
membelah perpaduan PKR sendiri. Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad
menganggap idea Anwar ini adalah satu masalah bagi PH; walaupun beliau
percaya ia boleh diatasi.
Mahathir tidak mahu menyantuni PAS lantas beliau segera memanfaatkan
kedudukannya sebagai Pengerusi untuk memimpin PH membuat ketetapan
menolak berunding dengan PAS.
Ini menggirangkan pemimpin PKR seperti Rafizi Ramli, Saifuddin
Nasution, William Leong. Sekaligus Anwar sedar bahawa jika tidak
ditangani segera, warkahnya yang mengakui menyokong usaha Timbalan
Presiden PKR berunding dengan PAS, akan meracik PKR.
Maka usaha menyelamatkan keadaan segera dilakukan. Jika beliau menarik
balik mesej warkahnya, tentu itu akan merendahkan persepsi pemimpin PKR
dan PH terhadapnya. Maka Anwar perlu melontarkan idea baru bagi
memperbaiki imejnya.
Anwar mengutus satu lagi warkah kepada PKR dan PH yang intipatinya mahu
fokus diberikan kepada kempen bagaimana ‘salah tadbir’ ekonomi negara
perlu dijadikan agenda utama PH demi menokok kebencian rakyat terhadap
kerajaan.
Anwar cuba mengalih pandangan rakyat daripada sisi buruk dan bercelaru
PH kepada isu populis yang kononnya mahu membela rakyat yang sedang
“dicekik” pengurusan ekonomi Umno-BN yang tempang.
Serentak
syor Anwar, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan PKR
akan mencontohi DAP dan PAS yang bersedia mengorbankan kerusi tradisi
masing-masing bagi memberi peluang PKR bertanding pada PRU 1999.
Tingkah Anwar dan Azmin ini dilihat sebagai ikhtiar “memujuk” kerabat
PH supaya melupakan usaha mahu membabitkan PAS dalam skim politik PRU14
PH.
Namun ketegaran Mahathir sebagai pengerusi PH, memang sedia difahami
Anwar. Ini kerana jika PAS dibabitkan dalam strategi induk ‘satu lawan
satu’ PH, sudah tentu peluang bagi PPBM mendapat lebih banyak kerusi
untuk ditandingi, akan berkurangan.
Mahathir mahu mencatat impak yang besar dalam PRU14. Beliau mahu PPBM
muncul parti pembangkang menang paling banyak kerusi. Justeru ia perlu
bertanding seberapa banyak kerusi yang mungkin. Kehadiran PAS dalam
congakan PH akan merencat cita-cita ini.
Lantas
Mahathir menggunakan sepenuhnya kedudukannya sebagai pengerusi PH untuk
menunjuk jalan pintas menumbangkan Umno-BN. Anwar dapat membaca bahawa
telunjuk Mahathir mungkin lurus “tetapi kelingkingnya tetap berkait”.
Baik Anwar mahupun penyokongnya dalam Jemaah pembangkang haruslah insaf
bahawa selagi beliau masih dipasung penjara, beliau tidak mungkin mampu
memimpin PH secara mutlak seperti dalam PRU13 pada 2013.
Tidak mungkin Anwar berpeluang mengepalai pengaturan dan pelaksanaan
strategi PH sepenuhnya. Sementara itu, Mahathir akan terus
mempengerusikan PH mengikut selera dan kebijaksanaannya. Anwar hanya
Ketua Umum yang tiada kuasa khusus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan