Ahad, 3 September 2017

Gabenor Mekah puji Malaysia urus jemaah haji dengan cemerlang

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Gabenor Mekah, Putera Khalid al-Faisal Al-Saud memberi pujian kepada Malaysia kerana mempunyai institusi seperti Tabung Haji yang berjaya mengurus jemaah haji dengan cemerlang.
 
Pujian itu disampaikannya kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mewakili kerajaan Malaysia ketika mengunjungi beliau di pejabatnya semalam.
 
Menurut Asyraf Wajdi, Putera Khalid beberapa kali menyebut jemaah haji Malaysia antara yang terbaik kerana paling berdisiplin dan tertib dalam pelaksanaan ibadah haji.
 
“Dalam pertemuan itu, saya memaklumkan secara rasmi berkenaan hasrat dan cadangan kerajaan Malaysia melalui Tabung Haji untuk bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi bagi pembinaan Kompleks Tabung Haji.
 
“Kompleks ini mampu menampung keseluruhan jemaah haji Malaysia sebagaimana dihasratkan dan pernah dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ketika lawatan rasmi Raja Arab Saudi itu ke Malaysia awal tahun ini,” katanya dalam Facebook.
 
Menurut Asyraf Wajdi, kerjasama itu akan menjadikan usaha pengurusan jemaah haji Malaysia lebih efisyen dan mampu mengurangkan kos pengurusan haji rakyat Malaysia untuk jangka panjang.
 
 

Tiada ulasan: