SHAH ALAM: Portal berita Singapura, The Independent, menarik balik
laporannya mengenai kematian seorang lelaki warganegaranya yang maut
akibat langgar lari baru-baru ini.
Laporan itu digantikan dengan notis 'Kami mohon maaf'.
"Kami memohon maaf kepada pihak yang terbabit dengan kemelut disebabkan insiden ini," tulis notis pada laporan itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam semalam berkata
kementeriannya akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Singapura
bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung tindakan portal itu yang
menyiarkan laporan tidak tepat.
Ujarnya, surat itu akan dihantar dalam masa terdekat selepas pihaknya
berbincang dengan bahagian perundangan kementerian dan Kementerian Luar.
Terdahulu, laporan portal itu menyebut ambulans Hospital Sultanah
Aminah (HSA) di Johor Bahru lewat memberikan respons sehingga 30 minit
terhadap laporan kemalangan membabitkan rakyat Singapura, Justinian Tan
pada 25 Ogos lepas.
Artikel itu mendakwa kelewatan itu menjejaskan usaha untuk membawa
mangsa berusia 25 tahun berkenaan mendapatkan rawatan di hospital pada
kadar segera.
Laporan juga mendakwa pihak HSA menuntut sejumlah wang deposit daripada
keluarga mangsa sebelum membenarkan sebarang rawatan dijalankan.
Tan mengalami kecederaan parah selepas dilanggar sebuah kereta Proton
Saga, ketika beliau dan lima rakannya yang baru selesai makan lewat
malam, kira-kira 3 pagi di Johor Bahru, menuju ke kenderaan mereka.
Tan kemudian dipindahkan ke Hospital Besar Singapura dan meninggal
dunia lima hari kemudian, selepas alat bantuan pernafasan ditanggalkan.
Seorang rakan Tan, Joshua De Rozario pula berkata, Halangan bahasa
mungkin menyebabkan berlakunya salah faham dengan kakitangan HSA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan