TEMERLOH: Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan seramai 48 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Mekah setakat hari ini.
Ahli Lembaga Pengarah TH Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin
berkata, angka itu rendah berbanding 32 orang keseluruhannya tahun lalu,
kerana mengambil kira pertambahan 10,000 jemaah bagi musim haji kali
ini.
"Pada tahun ini, kita lebih ketat dalam pemeriksaan kesihatan dan
setiap doktor diminta untuk benar-benar memastikan tahap kesihatan
jemaah sebelum memberikan kelulusan.
"Jika ada sakit, perkara itu hendaklah dimaklumkan lebih awal kepada TH
dan jika didapati ada doktor yang meluluskan mereka yang tidak sihat,
mereka boleh dikesan kerana setiap doktor diberikan nombor pengenalan
khusus TH," katanya.
Abdul Shukor berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi waris
Mohd Sufian Resli, 38, yang meninggal dunia di Makkah pada 6 Sept lalu
akibat jangkitan paru-paru, di Taman Bukit Bendera, Mentakab di sini.
Turut hadir ialah Pengarah TH Pahang Helena Hashim.
Katanya TH akan sedaya upaya menziarah semua waris jemaah haji yang meninggal dunia di tanah suci.
"Program ziarah ini adalah bagi kami menzahirkan rasa simpati kepada
waris dan menyampaikan sedikit sumbangan daripada TH untuk meringankan
beban waris selain mahu mengadakan tahlil kepada arwah di rumah mereka.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pejabat TH setiap negeri,"
katanya.
Abdul Shukor menambah sehingga hari ini, TH telah selesai menziarahi 17
waris jemaah dan berhasrat ziarah terhadap 31 waris lagi dapat
diselesaikan dalam masa terdekat.
Beliau juga berkata penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia pulang ke tanah air dijadualkan pada 5 Oktober depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan