Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Seorang pemimpin PKR bersetuju dengan cadangan untuk
mewujudkan rundingan dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga
penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Walau bagaimanapun Ahli Biro Politik PKR, R Sivarasa menegaskan, ia
hanya melibatkan rundingan kerusi dan bukannya mahu membawa masuk
kembali parti itu ke dalam gabungan pembangkang tersebut.
"Memang kita perlu rundingan untuk mengelak tiga penjuru, itu sahaja dan ini biasa dibuat.
"Rundingan ini bukan untuk membuat apa-apa pakatan dengan PAS, bukan
untuk membuat apa-apa kerjasama dan hanya rundingan untuk kerusi, mana
mereka akan bertanding, mana kita akan bertanding.
"Saya tegaskan hanya untuk elak tiga penjuru itu sahaja, sebab ramai
orang yang salah faham dan mereka dapat tafsiran dengan menganggap ini
ialah untuk membawa PAS balik ke dalam PH, itu mustahil dan itu bukan
tujuannya, bukan untuk membuat kerjasama, tetapi hanya untuk mengelak
tiga penjuru," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas pengerusi bersama
Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan yang menyeru Pakatan Harapan (PH)
mengadakan rundingan dengan PAS bagi mengelak pertandingan tiga penjuru
pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, PH perlu sedar hakikat bahawa hanya pertembungan satu lawan satu sahaja dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Namun katanya, cadangan itu hanya setakat diperingkat rundingan kerusi dan bukannya kerjasama PAS dengan PH.
Mengulas lanjut Sivarasa berkata, PAS melalui Timbalan Presidennya,
Tuan Ibrahim Tuan Man juga sudah bersetuju untuk berunding dengan PKR
dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung perbincangan
pengagihan kerusi.
Justeru Ahli Parlimen Subang itu berkata, mereka akan menggunakan
peluang yang diberikan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu
sebaik mungkin bagi memastikan tiada pertembungan tiga penjuru diantara
mana-mana parti, seterusnya memastikan kemenangan bukan memihak kepada
BN.
"Walaupun tiada gabungan atau kerjasama kita berunding untuk kerusi itu
sahaja dan itu yang kita akan lakukan untuk runding setakat yang boleh
untuk mengelakkan tiga penjuru.
"PAS tidak mahu berunding dengan DAP atau Amanah, dia (PAS) sudah
sebut, tetapi baru-baru ini Tuan Ibrahim, Timbalan Presiden PAS sudah
mengumumkan mereka membenarkan rundingan dengan Keadilan (PKR) dan
Bersatu (PPBM).
"Kita akan gunakan peluang itu sebab mereka sudah terbuka dan kita boleh rundingan itu," ujarnya lagi.
Isu rundingan bersama PAS menjadi punca kepada kekalutan yang berlaku dalam PH terutamanya dalam PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan