Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PKR enggan menurut gesaan Datuk Ambiga Sreenevasan, sebaliknya meminta bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 itu memulakan langkah berbincang dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru.
Hal itu dinyatakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution
merujuk kepada isu tersebut sehingga mewujudkan pertikaian dikalangan
pimpinan Pakatan Harapan (PH), lebih-lebih lagi PKR.
"Ambiga perlu berjumpa Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin; Presiden, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan
beberapa pemimpin PAS yang lain seperti Datuk Khairuddin Aman Razali,
Nasruddin Hassan dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
"Kita minta Ambiga mulakan langkah itu ke arah mendapatkan persetujuan
PAS supaya kita dapat pertandingan satu lawan satu," katanya kepada
Antarapos.
"Hal selepas itu kita bincangkan nanti," kata Saifuddin ringkas apabila ditanya jika Ambiga menurut gesaannya itu.
Semalam Ambiga menggesa PH mengadakan rundingan dengan PAS dalam usaha mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.
Katanya pemimpin PH perlu menyedari hakikat pertembungan satu lawan
satu sahaja dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN), dan percaya itulah
juga yang menjadi tujuan PAS apabila berdepan dengan pilihan raya.
Menjelaskan lebih lanjut, Ambiga menegaskan rundingan itu hanya
berkisar kepada pembahagian kerusi, bukan kerjasama antara PH dan PAS.
Pimpinan PH saling berselisih pandangan mengenai rundingan dengan PAS,
malah bukan lagi menjadi rahsia dikalangan PKR apabila ada antara mereka
menentang usaha berkenaan yang digerakkan oleh pemimpin mereka sendiri.
Majlis Presiden PH yang bermesyuarat pada 29 Ogos lalu memutuskan untuk
menutup rundingan dengan PAS malah bersedia dengan pertandingan tiga
penjuru pada PRU14.
Bagaimanapun surat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari
penjara menimbulkan polemik baru dalam PKR dan PH, apabila beliau
dilihat merestui usaha Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk
berunding dengan parti berteras Islam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan