Selasa, 19 Oktober 2021

Wajar nilai buruk jual arak

 Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

Syed Johan Rizal Syed Unan Mashri

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menilai keburukan menerusi penjualan minuman keras berbanding kelebihan bakal diterima rakyat apabila aktiviti itu boleh merosakkan masa depan anak muda kerana menyebabkan ramai nyawa korban dan perpecahan institusi masyarakat.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, aktiviti minuman keras tidak memberi sebarang impak positif terhadap imej tanah air di peringkat antarabangsa, malah menjejaskan maruah negara mempunyai majoriti rakyat beragama Islam. 

“Kita semua pastinya tahu Malaysia dikenali di serata dunia kerana martabat Islam yang tinggi namun kekal progresif sebagai negara terdiri pelbagai kaum. Tetapi amat dikesali kini arak menjadi tanda aras untuk dikenali di mata dunia dan lebih menyedihkan pengiktirafan ini tidak memberikan sebarang impak kepada imej negara di mata dunia.

“Kerajaan justeru itu perlu menilai kelebihan diperoleh berbanding kemudaratan yang diterima rakyat Malaysia. Jika hanya kelebihan ekonomi dijadikan ukuran, lihat juga kesan kerugian dialami apabila arak mendatangkan musibah kepada anak muda dan umum diketahui ianya punca ramai nyawa terkorban serta keluarga berantakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk iklan sejenis arak buatan tempatan diberi nama ‘Timah’ yang memaparkan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah sehingga mencetuskan polemik dan bantahan orang ramai dan parti politik.

Dalam pada itu, Syed Mohd. Johan Rizal memberitahu, Pemuda UMNO berpandangan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus sentiasa peka terhadap setiap kelulusan penjenamaan dan strategi pemasaran yang menyentuh sensitiviti kepelbagaian kaum dan agama khususnya umat Islam.

“Mengikut rekod,  syarikat pengeluar arak ini bukan lah pertama kali memenangi anugerah antarabangsa. Malah, sebelum jenama Timah, sudah wujud arak jenis Vodka keluaran syarikat ini yang juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Kini timbul pula nama Timah dan spekulasi gambar lelaki di atas botol arak tersebut hingga menimbulkan pelbagai kontroversi. Ada yang menyatakan nama Timah mempunyai tradisinya yang tersendiri dan ada juga menyatakan penggunaan gambar itu seolah-olah mengiktiraf peranan British memperkenalkan arak jenis ‘spirit’ daripada era kolonial Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO mahu isu ini perlu diselesaikan secara tuntas agar kemelutnya dapat diatasi dengan segera. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: