Jumaat, 29 Oktober 2021

Najib tak dipercayai bawa kemenangan PRN Melaka, UMNO terdesak perlukan PAS

 

Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam secara tidak langsung memberi isyarat parti itu tidak yakin faktor populariti Datuk Seri Najib Razak akan membawa kemenangan, disamping terdesak memerlukan sokongan PAS.

Walaupun Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Najib akan menggantikannya mengetuai kempen PRN Melaka tetapi beliau mengubah keputusan tersebut dengan melantik Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan pula sebagai Pengarah Pilihan Raya dan turut membuat pusingan U berhubung kerjasama dengan PAS juga.

Zahid tidak dapat bersama mengikut kempen pilihan raya kerana akan ke Jerman dan pada mulanya mengumumkan rakan karibnya itu sebagai ketua bagi menghadapi PRN Melaka, namun sebaliknya yang berlaku apabila MT UMNO tidak menerima cadangan tersebut.

MT UMNO berpendapat Mohamad selaku Timbalan Presiden lebih layak untuk mengetuai jentera parti berbanding Najib yang terpalit dengan kes mahkamah, malah berdepan kritikan selepas pasportnya dikembalikan bagi tujuan melawat anak bersalin di Singapura.

Najib menjadi sasaran serangan dan semakin tidak disenangi rakyat, malah pemimpin pembangkang juga mempersoalkan keperluan lawatan ke Singapura untuk menemani anak perempuannya bersalin kerana bukan seorang ‘bidan’ dan terbaharu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggelarkan sebagai penjenayah VIP pertama.

Selain itu, kehadiran Najib di Melaka sehingga tular gambar serta video pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) juga menimbulkan rasa kurang senang dikalangan orang ramai.

Paling menjadi kontroversi melibatkan Najib adalah berhubung isu pasport yang dikembalikannya, orang awam mempersoalkan kewajaran keputusan tersebut ia memandangkan Najib sudah disabit hukuman dan ketika ini dalam proses rayuan, disamping berdepan puluhan pertuduhan lain di mahkamah.

Mengambil kira risiko tersebut yang boleh mengakibatkan kekalahan UMNO di Melaka, seorang individu yang dilihat bersih dan tidak menjadi sasaran serangan perlu dipilih.

Pemilihan Mohamad diharapkan dapat meredakan kemarahan orang ramai terhadap Najib disamping dapat membantu kemenangan parti itu dalam PRN Melaka.

Berhubung kerjasama dengan PAS, MT UMNO juga nampaknya tidak bersetuju dengan pendirian Zahid yang enggan meneruskan kerjasama dengan parti Islam tersebut, malah secara terbuka menolak sebarang kerjasama dengan parti yang mempunyai kaitan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, PAS merupakan salah satu parti gabungan dalam PN bersama-sama dengan Bersatu, Gerakan dan GPS.

Zahid dengan nada penuh berkeyakinan pada awalnya menolak PAS termasuk Bersatu, tetapi keputusan MT UMNO dalam mesyuarat malam tadi pula seakan masih mahu meneruskan kerjasama tetapi dengan meletak syarat PAS perlu masuk bertanding menggunakan logonya bukan logo PN.

Untuk rekod, PAS semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Alasan UMNO dengan meletak syarat tersebut adalah bagi meneruskan persefahaman yang dicapai sebelum ini dalam Muafakat Nasional (MN) dan untuk mengelakkan pertembungan dalam PRN Melaka.

Keputusan UMNO tersebut agak menghairankan kerana mereka tidak sepatutnya bimbang dengan ancaman PAS kerana tidak memenangi sebarang kerusi sebelum ini atau sebenarnya terdesak memerlukan sokongan parti tersebut untuk memenangi PRN kali ini.

Realitinya, UMNO kini amat memerlukan PAS untuk memenangi PRN Melaka walaupun pada awalnya Zahid dengan angkuh mengumumkan untuk menolak sebarang kerjasama dengan parti itu.

Nampaknya Zahid kini terpaksa menjilat ludahnya semula dan walaupun agak keberatan tetapi MT UMNO sudah membuat keputusan mereka.

Lebih memalukan apabila selepas puas dimaki hamun PAS, UMNO kini terdesak pula menagih simpati PAS untuk meneruskan kerjasama politik.

Bagaimanapun, adakah PAS akan masuk dalam perangkap UMNO yang cuba memecahbelah persefahaman dalam PN? UMNO kini perlu menunggu jawapan PAS terhadap syarat yang diletakkan dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: