Jumaat, 29 Oktober 2021

PAS akan jawab syarat diletak UMNO ugut guna logo sendiri


Susulan ugutan UMNO yang meletak syarat supaya PAS menggunakan logonya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Khairuddin Aman Razali menegaskan parti itu tidak terikat dengan keputusan parti lain.

Khairuddin berkata PAS akan membuat keputusannya sendiri tanpa perlu mengikut syarat mana-mana parti lain dan menjelaskan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pusat akan membincangkan isu tersebut serta membuat keputusan sendiri.

“PAS menerusi Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pusat akan membuat keputusan sendiri berdasarkan pertimbangan maslahat (kebaikan) dan mafsadah (keburukan), untung dan rugi pada kesatuan serta perpaduan umat dan bagi mengekang kemenangan Pakatan Harapan (PH).

“PAS tidak terikat dengan syarat atau keputusan mana-mana parti lain,” katanya dipetik laporan Malaysiakini hari ini.

Beliau sekali lagi mengulangi komitmen PAS yang mahu mengukuhkan perpaduan dikalangan orang Melayu dan Islam.

“Komitmen PAS ialah menyatupadukan kuasa politik Melayu Islam dan menghalang kemenangan PH (Pakatan Harapan) dalam mana-mana pilihan raya,” ujarnya lagi.

Semalam, UMNO selepas mengadakan Mesyuarat Majlis Tertingginya meminta PAS menggunakan logo sendiri dalam PRN Melaka dan bukannya logo Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata PAS perlu menggunakan logonya sendiri sebagai mematuhi semangat Muafakat Nasional (MN) dan digesa tunduk kepada syarat itu jika tidak mahu berlaku pertembungan sesama sendiri dalam PRN nanti.

“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Tiada ulasan: