Jumaat, 29 Oktober 2021

UMNO mahu kerjasama dengan Pas hadapi PRN Melaka

MGF20082019_PC-UMNO-PAS_15
UMNO mahu meneruskan persefahaman dengan Pas dalam menghadapi PRN Melaka.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, keputusan itu selaras dengan semangat dan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu memperkasakan Muafakat Nasional (MN).

“Ini untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat tersebut berakhir.

Dalam kenyataan itu juga, Ahli Parlimen Pontian itu menyatakan keputusan mesyuarat melantik Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah PRN Melaka.

Katanya MKT turut memberikan mandat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memuktamadkan keputusan berkaitan PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan  penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November dan pengundian awal 16 November.

PRN Melaka diadakan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

Tindakan tersebut membawa kepada pembubaran kerajaan negeri Melaka pada 4 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: