Sabtu, 30 Oktober 2021

Bajet 2022 guna dana RM332.1 bilion

 BH ONLINE

Momentum pemulihan dijangka berterusan pada tahun depan sejajar dengan kemajuan program vaksinasi yang lancar dan disokong oleh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang baru diumumkan akan menjadi pemangkin untuk merancakkan semula ekonomi, mempromosikan pelaburan, melonjakkan pendigitalan dan memperkukuh perkhidmatan awam.

Bajet 2022 dirumuskan dengan tiga objektif utama iaitu untuk mengekalkan dan memacu aktiviti ekonomi, membangun semula ketahanan ekonomi dan menjadi pemangkin agenda reformasi berikutan keperluan untuk memastikan pemulihan kekal kukuh.

Oleh itu, kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal mengembang untuk membawa negara kembali kepaa trajektori potensi pertumbuhan.

Sejumlah RM332.1 bilion atau 20.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diperuntukkan dalam Bajet 2022.

Daripada jumlah itu, RM233.5 bilion (70.3 peratus) akan disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), RM75.6 bilion (22.8 peratus) untuk perbelanjaan pembangunan (DE) dan baki RM23 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19).

Dari segi peruntukan sektoral, RM133.2 bilion (40.1 peratus) daripada jumlah keseluruhan Bajet 2022 akan diperuntukkan untuk program dan projek di bawah sektor sosial, diikuti sektor ekonomi (20.3 peratus), keselamatan (10.3 peratus) dan pentadbiran am (4.8 peratus).

Baki berjumlah RM81.3 bilion (24.5 peratus) akan diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.

Peruntukan OE pada 2022 dianggarkan berjumlah RM233.5 bilion atau 14.3 peratus kepada KDNK.

Jumlah ini adalah 6.3 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun ini yang disemak semula iaitu RM219.6 bilion.

Emolumen, bayaran khidmat hutang dan bayaran persaraan kekal sebagai tiga penerima tertinggi merangkumi 67.5 peratus daripada jumlah OE atau 9.6 peratus kepada KDNK.

Emolumen penjawat awam selaku penerima terbesar OE pada tahun depan.

Komponen ini mewakili sekitar satu pertiga daripada jumlah OE dan dianggarkan meningkat kepada RM86.5 bilion.

Kenaikan ini sebahagiannya untuk menampung kenaikan gaji tahunan. Bayaran persaraan pula dianggarkan meningkat kepada RM28.1 bilion (12 peratus daripada jumlah OE) berikutan kenaikan pencen tahunan serta peningkatan jumlah pesara dan penerima manfaat yang dianggarkan berjumlah hampir 628,300.

Sejumlah 73.7 peratus bayaran persaraan terdiri daripada pembayaran pencen bulanan untuk pesara dan penerima manfaat, manakala sebahagian besar bakinya adalah bayaran ganjaran serta pemberian wang tunai sebagai gantian rugi rehat terkumpul yang tidak digunakan.

Sebanyak RM43.1 bilion akan diperuntukkan untuk bayaran khidmat hutang pada 2022.

Daripada jumlah itu, 98.2 peratus diperuntukkan untuk pembayaran kupon atas hutang dalam negara.

Sementara bakinya untuk pinjaan luar pesisir.

Nisbah bayaran khidmat hutang kepada OE dianggarkan lebih tinggi pada 18.5 peratus sejajar dengan penggunaan instrumen hutang bagi membiayai dasar fiskal mengembang.

Empat pakej rangsang semula ekonomi negara

Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini dianggarkan berjumlah RM322.5 bilion dengan empat pakej bantuan dan rangsangan ekonomi diumumkan.

Ia merangkumi Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM225 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM25 bilion.

Secara umumnya, pakej terbabit dalam bentuk bantuan tunai kepada rakyat dan perniagaan terutama bagi yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan berikutan pandemik COVID-19.

Langkah rangsangan tambahan dan pembendungan pandemik memberi tekanan kepada unjuran hasil yang lebih rendah berbanding anggaran belanjawan, sekali gus memerlukan penyusunan semula perbelanjaan terutama perbelanjaan mengurus yang harus dibiayai sepenuhnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini disemak semula lebih rendah kepada RM320.6 bilion, namun jumlah berkenaan lebih tinggi berbanding jumlah perbelanjaan pada tahun sebelumnya iaitu RM314 bilion.

Penyusunan semula ini membabitkan pengurangan bersih dalam perbelanjaan sebanyak RM1.9 bilion dijana melalui penjimatan perbelanjaan berjumlah RM23.9 bilion dan disalurkan semula untuk membiayai tambahan suntikan langsung fiskal yang dianggarkan berjumlah RM22 bilion di bawah Kumpuan Wang COVID-19 (KWC-19).

Penjimatan perbelanjaan berkenaan dijana daripada penjadualan semula program dan projek tertentu, penangguhan program tidak kritikal, semakan semula peruntukan langkah belanjawan serta jangkaan pengurangan perbelanjaan akibat penundaan projek semasa tempoh PKP.

Berdasarkan jumlah peruntukan yang disemak semula, perbelanjaan mengurus (OE) dianggar berjumlah RM219.6 bilion (14.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)), perbelanjaan pembangunan (DE) berjumlah RM62 bilion (4.1 peratus kepada KDNK), manakala baki RM39 bilion (2.6 peratus kepada KDNK) adalah untuk KWC-19.

Tiada ulasan: