Khamis, 28 Oktober 2021

Pakar sakit puan tempatan cipta ‘kondom uniseks pertama dunia’

John Tang Ing Chinh menunjukkan ciptaannya yang boleh digunakan oleh 
kaum wanita dan lelaki. (Gambar Reuters)

SIBU: Pakar sakit puan atau ginekologi warga tempatan berjaya mencipta kondom uniseks pertama di dunia yang boleh digunakan oleh wanita atau lelaki dan diperbuat daripada bahan gred perubatan yang lazimnya digunakan sebagai pembalut bagi merawat kecederaan serta luka.

Perekanya berharap kondom uniseks Wondaleaf itu akan membolehkan orang ramai menjaga kesihatan seksual dengan lebih baik tanpa mengira jantina atau orientasi seksual mereka.

“Ia pada asasnya kondom biasa dengan dilitupi pelekat,” kata John Tang Ing Chinh, pakar sakit puan di firma bekalan perubatan Twin Catalyst.

“Ia adalah kondom yang dilitupi pelekat yang melekat pada faraj atau zakar serta menutup kawasan berdekatan untuk perlindungan tambahan,” kata Tang, menurut Reuters.

Tambahnya, pelekat itu hanya terdapat pada satu bahagian kondom berkenaan, bermaksud ia boleh diterbalikkan dan digunakan oleh lelaki atau wanita.

Setiap kotak Wondaleaf mengandungi dua kondom dan berharga RM14.99. Harga purata untuk sedozen kondom di Malaysia ialah RM20 hingga RM40.

Tang membuat kondom menggunakan “polyurethane”, iaitu bahan yang digunakan dalam pembalut luka lutsinar yang nipis dan fleksibel, namun kuat dan kalis air.

Katanya, Wondaleaf telah melalui beberapa pusingan penyelidikan dan ujian klinikal dan akan tersedia secara komersial melalui laman web firma itu Disember ini.

Tiada ulasan: