Jumaat, 29 Oktober 2021

Rauf yakin PAS patuh dengan syarat UMNO guna logo sendiri


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yakin PAS akan patuh dengan syarat yang diletakkan supaya menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bukan logo Perikatan Nasional (PN).

Calon Ketua Menteri (KM) Melaka itu berkata keyakinan itu susulan respon positif beberapa pemimpin PAS terhadap Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam dan berharap keputusan yang dibuat akan memberi manfaat kepada kedua-dua parti bagi mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Keputusan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) ini mesti memberi faedah kepada kedua-dua parti.

“Saya berhubung dengan semua pimpinan Pas dan mereka sangat mengalu-alukan keputusan ini.

“Apapun, kita akan menantikan keputusan yang akan dibuat Pas pada Ahad,” katanya dipetik portal Utusan Malaysia dalam sidang media di Villa D’Acqua, Kampung Pulau hari ini.

Semalam, UMNO selepas mengadakan mesyuarat MT meminta PAS menggunakan logo sendiri dalam PRN Melaka dan bukannya logo PN.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata PAS perlu menggunakan logonya sendiri sebagai mematuhi semangat MN dan digesa tunduk kepada syarat itu jika tidak mahu berlaku pertembungan sesama sendiri dalam PRN nanti.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Tiada ulasan: