Sabtu, 30 Oktober 2021

Bahan kimia bahaya phthalates dalam makanan segera

Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
KAJIAN mendapati beberapa hidangan makanan segera mengandungi bahan kimia phthalates. – AFP

WASHINGTON: Satu kajian baharu mendapati beberapa hidangan makanan segera mengandungi bahan kimia yang dikenali sebagai phthalates.

Phthalates lazimnya digunakan dalam plastik untuk menjadikannya fleksibel.

Bahan kimia itu boleh mengganggu sistem hati, buah pinggang, paru-paru dan sistem pembiakan.

Lapor Daily Star, pasukan penyelidik dari Pusat Pengajian Kesihatan Awam Institut Milken di Universiti George Washington mengkaji 64 sampel makanan dari enam restoran berbeza di Amerika Syarikat (AS) termasuk McDonalds, Burger King, Pizza Hut and Domino’s.

Mereka mendapati 81 peratus bahan makanan mengandungi Phthalates, manakala 70 peratus mempunyai bahan kimia tertentu yang dikaitkan dengan masalah kesuburan.

Berdasarkan Gizmodo, pasukan penyelidik itu turut mendapati 89 peratus bahan makanan yang dikaji mengandungi pemplastik bukan phthalates.

Laporan itu juga menyatakan makanan daging termasuk burger keju dan burrito ayam mengandungi tahap bahan kimia yang tinggi.

“Kami menemukan phthalates dan pemplastik lain tersebar luas dalam makanan disediakan yang terdapat di rantaian restoran makanan segera di AS.

“Penemuan ini secara tidak langsung bermakna ramai pengguna menjamu makanan berserta bahan kimia yang tidak sihat.

“Justeru, kita memerlukan peraturan lebih ketat untuk membantu mengelakkan bahan kimia berbahaya dalam bekalan makanan,” kata jurucakap pasukan penyelidik itu.

Menurut laporan itu, bungkusan plastik yang digunakan untuk menyimpan makanan atau sarung tangan bagi mengendalikan makanan boleh menjadi punca berlakunya pencemaran makanan. – AGENSI

Tiada ulasan: