Oleh KOSMO!
WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang menghantar manusia ke Planet Marikh pada tahun 2030-an tetapi meninggalkan Planet Merah tentunya memerlukan kos yang tinggi, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Menurut NASA, kos sekitar AS$8 bilion (RM33.1 bilion) diperlukan untuk membawa 30 tan metana dan oksigen cecair bagi menjana enjin roket untuk pulang ke Bumi.
Bagaimanapun, pasukan penyelidik Institut Teknologi Georgia mengusulkan kaedah menggunakan sumber alam semula di permukaan Marikh untuk membiakkan bakteria yang akan ditukarkan menjadi bahan api.
Pasukan penyelidik itu mahu membina reaktor cahaya di Marikh yang menggunakan cahaya matahari dan karbon dioksida untuk menghasilkan cyanobacteria bagi membuat gula.
Bakteria E.coli yang akan dihantar dari Bumi, akan menukar gula itu menjadi bahan api roket dan bahan api untuk kegunaan lain.
Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan kos tetapi saintis-saintis berkata, proses baharu itu turut menghasilkan 44 tan oksigen bersih yang dapat membantu memulihara koloni manusia.
“Kami mula mempertimbangkan cara untuk memanfaatkan graviti rendah dan kekurangan oksigen di Marikh untuk menghasilkan jawapan yang unik,” kata penulis bersama kajian tersebut, Pamela Peralta-Yahya.
Jangka masa NASA mengenai rancangannya untuk menghantar manusia ke Marikh berubah sejak beberapa tahun lalu kerana misi itu bergantung kepada kejayaan menghantar angkasawan Amerika Syarikat kembali semula ke Bulan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, berita terbaharu membayangkan misi ke Marikh akan bermula pada tahun 2037. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan